SHAH Iskandar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

Nama pelakon Shah Iskandar pernah berada dalam kelompok artis popular sepanjang tempoh 12 tahun terbabit dalam bidang hiburan tanah air.

Pelakon kelahiran Singapura ini juga pernah diangkat sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama dua tahun berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Namun, pelbagai kontroversi yang melanda sejak dua tahun lalu membuatkan Shah terpaksa mengelak daripada menjadi tumpuan media.

Menurut pemilik nama sebenar Shah Iskandar Mahfuz, 36, ini, dia mengakui kontroversi yang dikaitkan juga membuatkan namanya seakan-akan merudum.

“Saya terpaksa berdepan pelbagai ujian termasuk dikaitkan dengan kes penipuan dan pergaduhan dengan pengarah yang turut menjejaskan nama baik saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kontroversi yang melanda tidak menjejaskan kepercayaan penerbit dan pengarah pada bakat lakonan sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, Shah menafikan dakwaan namanya juga sudah tidak relevan dalam bidang hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak pernah putus dalam bidang lakonan ketika ini. Walaupun kurang publisiti dan kemunculan ramai bakat baru, saya masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama tempatan ketika ini,” katanya.

Terbaru, Shah sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 100 episod, Jodoh Jodoh Anissa arahan Riza Baharudin terbitan Global Station Sdn Bhd.

Sebelum ini, Shah juga terbabit dalam dua drama bersiri popular iaitu Mr Grey dan Halalkan Hati Yang Ku Curi yang sudah pun bersiaran di kaca televisyen tahun ini.

Drama lakonannya berganding dengan Uqasha Senrose berjudul Syurga Tak Sempurna turut mendapat sambutan penonton tahun lalu.

Berbanding dulu, kata Shah, soal glamor dan populariti bukan lagi menjadi keutamaan sebaliknya kepuasan dalam bidang lakonan.

“Saya juga mahukan watak lebih mencabar kemampuan dalam bidang lakonan seperti pesakit autisme pula selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Shah mengakui dia juga menyara keluarga daripada rezeki dalam bidang lakonan.

“Menerusi hasil pendapatan dalam bidang lakonan jugalah saya mampu membayar pinjaman rumah, kereta, menyara isteri dan ibu bapa di Singapura,” katanya.

SHAH Iskandar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Impi cahaya mata

Rumah tangga yang dibina bersama Siti Sarah Mohd Noor, 32, bahagia sejak dua tahun lalu.

Menurut Shah, dia sentiasa bersikap terbuka dengan isterinya untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga yang dibina itu.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun hidup bersama, isteri sudah faham dengan asam garam dan permainan dunia hiburan.

“Sebagai suami, saya juga mahukan rumah tangga kami bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

Ditanya perancangan membina keluarga pula, kata Shah, dia dan isteri masih berusaha mendapatkan cahaya mata ketika ini.

“Setakat ini, doktor memberitahu kami tiada masalah dari segi kesuburan untuk mendapatkan anak cuma belum ada rezeki.

“Setiap kali ada kelapangan, saya juga membawa isteri untuk bercuti sekali gus meluangkan lebih banyak masa bersama dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:22 AM