BUAYA yang ditembak ketika 'mendarat' bagi mencari haiwan ternakan penduduk di Sungai Baram, Kampung Dagang. FOTO Ihsan Pusat Maklumat Rakyat Daerah Marudi
Mohd Rizal Abdullah

Marudi: Seekor buaya sepanjang empat meter yang menghuni Sungai Baram, Kampung Dagang, di sini, berjaya ditangkap penduduk, semalam.

Reptilia seberat 300 kilogram (kg) itu ditangkap jam 5 pagi selepas memakan umpan ayam yang dipasang jam 4 petang kelmarin.

Penduduk, Sharbini Ahmad, 40-an, berkata, buaya berkenaan dikesan mula ‘mendarat’ di tebing sungai untuk mencari haiwan ternakan sebagai makanan sejak dua minggu lalu.

Katanya, keadaan itu sekali gus meresahkan penduduk yang kebanyakannya menetap berhampiran tebing sungai kerana kemungkinan ‘sang bedal’ berkenaan menyerang mereka.

“Bagaimanapun, keresahan penduduk reda selepas seekor buaya berjaya ditangkap awal pagi tadi (semalam) menggunakan perangkap berumpan ayam,” katanya.

Katanya, reptilia ditangkap itu dipercayai buaya yang memakan ayam ternakannya dua minggu lalu menyebabkan penduduk bimbang jika turut menjadi mangsa.

“Terbaru, ayam belanda peliharaan saya turut ‘lesap’ dan selepas diperiksa, saya menemui kesan tapak kaki buaya berhampiran reban,” katanya.

Katanya, dia kemudian nekad memasang perangkap dan berjaya menangkap buaya berkenaan untuk memastikan tiada lagi ternakan menjadi ‘juadah’ reptilia itu.

“Kira-kira 10 penduduk turut membantu untuk ‘mendaratkan’ buaya ke tebing sungai dan dipercayai reptilia itu yang menyerang haiwan ternakan saya minggu lalu,” katanya.

Katanya, buaya berkenaan terpaksa ditembak berikutan terlalu agresif ketika cuba dinaikkan ke tebing, selain sebagai langkah keselamatan kerana bimbang akan menyerang penduduk.

Kehadiran buaya di kampung itu bukan perkara baru kerana Sungai Baram antara lokasi dikesan mempunyai kepadatan buaya yang tinggi di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:58 AM