JENAZAH Mohammad Fais dibawa masuk ke dalam van jenazah di perarangan Unit Forensik (HTJ), Seremban selepas dia rebah secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia ketika bermain bola sepak di padang SMK Bandar Baru Sri  Sendayan, semalam. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan.
Khairul Najib Asarulah Khan


PELAJAR tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan, Seremban, meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah ketika bermain bola sepak di padang sekolah berkenaan, petang semalam.

Mohammad Fais Ali Ahmad, 16, yang dikejarkan dengan ambulans disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Bapanya, Ali Ahmad Mohd Jaled, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu selepas dihubungi guru pada 3.45 petang.

“Saya menerima panggilan telefon daripada guru memberitahu Mohammad Faiz pengsan di padang dan bergegas ke sekolah, tetapi dia sedang diangkat masuk ke dalam ambulans.

“Namun sebaik tiba di Hospital Tuanku Ja'afar, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HTJ, hari ini.

Menurut Ali, setiap hari sebelum ke sekolah, Mohamad Fais akan mencium pipinya dan tidak menyangka pagi semalam adalah ciuman terakhir diterimanya.

“Dia seorang anak yang baik dan kami sekeluarga amat terasa kehilangannya, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mambau selepas Zuhur hari ini,” katanya.

Ali berkata, anaknya tidak mempunyai masalah jantung selama ini selain terkejut apabila mendapat tahu wujud berita disebarkan melalui WhatsApp bahawa kematian Mohammad Fais dikaitkan dengan strok haba.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Maznah Abu Bakar, berkata bedah siasat mengesahkan punca kematian Mohammad Fais ialah kerana serangan jantung.

Katanya, dia difahamkan kejadian berlaku dalam tempoh beberapa minit ketika perlawanan bola sepak baru bermula.

“Mohammad Fais tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Ketika itu, dia masih bernafas dan guru sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghubungi ambulans.

“Namun dia disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya yang turut berada di Unit Forensik HTJ.

Menurutnya, pelajar berkenaan seorang yang aktif kerana dipilih sebagai atlet sekolah dan pemain bola sepak.

Katanya, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik iaitu tidak terlalu panas.

“Orang ramai tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi mengatakan ia berpunca daripada strok haba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 3:34 PM