FAIZAL Tahir. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Kitaran genre muzik membuatkan ada irama yang dihasilkan 30 tahun dulu kembali menguasai industri muzik ketika ini.

Bagi menepati selera peminat muzik masa kini, ia diberikan sentuhan baru dan lebih segar.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh dan Kugiran Masdo tampil dengan irama vintaj juga pop yeh yeh yang diberikan suntikan elemen muzik terkini diterima baik.

Terbaru penyanyi dan komposer prolifik, Faizal Tahir juga tampil dengan irama vintaj tetapi disuntik muzik reggae menerusi karya terbaru, Ragaman.

Lebih menarik, lirik ditampilkan juga agak mudah untuk dihadam pendengar muda, tidak terlalu bombastik dan turut menggunakan kata slanga.

Faizal ketika ditemui berkata, dia tidak menafikan ‘vibe’ muzik vintaj yang makin diminati ketika ini turut meyakinkannya karya itu boleh diterima baik pendengar muzik tempatan.

“Saya sedar muzik sedemikian makin diminati. Namun, sewaktu menghasilkan karya ini saya tidak terfikir langsung mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun, saya perlu memberikan kredit kepada penerbit Ragaman, Mike Chan yang bijak menyusun dan membentuk lagu yang saya hasilkan ini,” katanya.

Dikatakan kembali dengan muzik klasik dan vintej, Faizal berkata, dia sendiri tidak sedar perkara itu, namun mengakui ketika muzik berevolusi dan berkembang, kadang-kadang ia akan kembali ke zaman ia pernah dihasilkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, gabungan irama vintaj dengan muzik moden ini boleh menghasilkan sesuatu yang segar. Bukankah muzik itu juga ada putarannya? Mengambil contoh sebelum ini muzik dari Indonesia pernah menguasai industri muzik tempatan.

“Bagaimanapun, sekarang ini apa yang dihasilkan pengkarya kita jauh lebih bagus dan pendengar tempatan sendiri mengangkat serta mengiktiraf muzik yang dihasilkan.

“Pada pandangan saya putaran irama yang diguna pakai semula ini tidak akan bertahan lama. Namun, melihat pada sudut positif, irama seperti itu tidak terdapat di negara luar.

“Ini adalah khazanah muzik yang kita ada tetapi orang luar tidak ada. Ia sesuatu yang hanya orang Malaysia saja yang faham,” katanya.

Menceritakan mengenai pembikinan Ragaman, kata Faizal ia adalah satu-satunya karya diciptakan paling cepat dan pantas.

“Selalunya untuk menghasilkan sesebuah lagu, mengambil masa selama enam hingga setahun lamanya. Namun Ragaman paling cepat dengan hanya mengambil masa empat bulan.

“Pembikinannya juga sangat bersahaja. Waktu itu saya dan Mike Chan berada di dalam studio. Sambil memetik gitar kami cuba membangunkan melodi lagu. Tiba-tiba datang idea datang.

“Jujur waktu itu lirik lagu itu juga saya main sebut saja. Tidak sangka idea bersahaja itu dianggap bagus oleh Mike Chan dan meminta kami merakamkan Ragaman,” katanya.

Bercerita mengenai sumber idea diperoleh dalam menghasilkan Ragaman, Faizal mengakui karya filem dihasilkan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, iaitu Madu Tiga dijadikan ilham.

“Ia mengisahkan kehidupan lelaki yang sudah berumah tangga. Bagaimanapun, sifat dan sikap isteri, kita sebagai suami tetap sayang dan menghargainya. Ia bukan saja membabitkan pengalaman saya secara khusus sebaliknya ia boleh dikaitkan dengan semua lelaki dan mereka bergelar suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 9:09 AM