GAMBAR kenangan Ghafur (kiri) bersama sukarelawan lain ketika menjalankan program di Mesir. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Dia tidak pernah mengeluh meskipun terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri, sebaliknya berasa puas kerana dapat membantu masyarakat memahami, sekali gus mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Malah pemuda ini juga kerap mengorbankan masa untuk ke kawasan pedalaman bagi menyantuni mualaf yang memerlukan bimbingan daripada saudara Muslim.

Bagi Ghafur Rahim Mustakim, 26, perjuangannya menyebarkan Islam tidak ada batasan, berikutan itu dia juga kerap menyertai misi antarabangsa anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sukarelawan berasal dari Gerik, Perak, ini berkata, matlamat utama dalam hidupnya adalah melahirkan masyarakat khusus belia yang mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Dia yang kini mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Marin Bio Toksin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga mahu membantu melahirkan belia cemerlang menerusi program sukarela disertainya.

“Saya mula aktif dalam misi kemanusiaan dan program kemasyarakatan sejak enam tahun lalu kerana berasakan ini adalah kaedah terbaik untuk berbakti kepada orang ramai.

“Hampir setiap minggu saya menyertai aktiviti sukarela, malah saya kerap ke Sabah dan Sarawak untuk menyantuni golongan mualaf di sana,” katanya.


GHAFUR memberi taklimat kepada peserta program ilmuan. FOTO NSTP

Ghafur yang menamatkan zaman bujangnya Julai lalu berkata, jadual harian yang padat kerana menyiapkan tugasan pengajian peringkat PhD termasuk perlu menghadiri kelas langsung tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam program sukarela.

Malah anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu berkata, dia juga tidak merasai bebanan meskipun terpaksa melakukan dua perkara dalam satu masa.

Menurutnya, menempuh perjalanan selama dua hingga lima hari semata-mata untuk menyantuni mualaf dalam kalangan masyarakat Orang Asli di pedalaman antara cabaran kerap ditempuh.

“Namun semua cabaran itu ditempuh dengan penuh perasaan sabar kerana saya yakin akan mendapat kepuasan selepas menyelesaikan misi disertai.

“Kalau berlaku bencana besar di negara jiran khusus di Indonesia, saya pasti turut serta bersama NGO berkenaan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa terjejas,” katanya.


GHAFUR (tiga dari kiri) bersama pelajar universiti Mesir pada program kemasyarakatan bersama kanak-kanak negara berkenaan. FOTO NSTP

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) cawangan Sabah, turut ke Mesir bagi memastikan penuntut berasal dari Malaysia di negara itu tidak terpengaruh dengan sebarang gerakan atau dakyah bertentangan akidah Islam.

Jelasnya, jika tidak dipantau penuntut terbabit berisiko tinggi terpengaruh dan menyertai kumpulan tertentu hingga membantutkan pengajian serta paling dirisaukan merugikan individu terbabit bagi tempoh jangka panjang.

“Kalau terpengaruh dengan ajaran radikal yang menanamkan rasa kebencian pada negara pasti penuntut berkenaan akan leka akhirnya gagal menamatkan pengajian.

“Dalam misi dianjurkan ke luar negara kami juga ambil tahu hal kebajikan dan masalah penuntut. Contoh kami bantu penuntut berdepan kesukaran menguasai Bahasa Arab dengan baik.

“Malah, kami beri motivasi dan suntikan semangat agar mereka ini tidak mudah putus asa, memang mahu menggapai kejayaan bukan satu perkara mudah,” katanya.


GHAFUR (lima dari kiri) bergambar bersama sukarelawan pelajar Mesir. FOTO NSTP

Berkongsi pengalamannya Ghafur berkata, setakat ini dia menyertai ratusan misi dan program, namun semangatnya untuk terus menabur bakti kepada orang ramai tidak pernah pudar.

“Belia masa kini adalah bakal pemimpin yang akan mencorakkan hala tuju dan masa depan negara, jadi mereka ini perlu dibimbing serta didedahkan dengan amalan murni.

“Menjadi impian saya untuk membantu mengekalkan keharmonian di negara ini dan seluruh negara. Selain itu saya juga mahu membantu masyarakat berakhlak mulia yang sentiasa mengikut sunnah dan al-Quran sebagai panduan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 9:07 AM