Syamsul akui hasilkan Munafik 2 dengan sepenuh jiwa dan raga. FOTO fail HM Digital
Norhayati Nordin


GARA-gara kutipan pecah panggung sebanyak RM35 juta, pengarah filem Munafik 2, Syamsul Yusof demam kerana terkejut dan tidak menjangka filem itu mampu mencatat kutipan luar biasa.

Filem genre seram Islamik terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu turut mencipta rekod dalam industri perfileman tempatan apabila memperoleh jumlah itu dalam tempoh 12 hari tayangan.

Syamsul ketika dihubungi berkata, dia bagaikan hilang kata-kata dan melakukan sujud syukur di atas kejayaan luar biasa Munafik 2.

“Saya demam kerana terkejut dengan jumlah kutipan itu. Saya baru saja pulih dan boleh bangun,” katanya.

Syamsul berkata, dia sudah berusaha membuat yang terbaik.

“Tidak dinafikan, saya ambil masa cukup lama untuk menghasilkan Munafik 2 ini sebaik yang mungkin.

“Boleh dikata filem ini saya hasilkan dengan sepenuh jiwa dan raga untuk elemen Islamik dimuatkan itu dikupas teliti serta mendalam.

“Saya akui mesej filem ini agak berat kerana berkait rapat dengan agama. Namun, tak sangka juga ada masyarakat bukan Islam yang menonton Munafik 2,” katanya.

Selain mengarah, Syamsul turut berlakon watak utama dalam filem berkenaan bersama Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali, Mawi dan Fauzi Nawawi.

Dalam pada itu, Munafik 2 juga akan ditayangkan di Indonesia mulai 26 September ini selepas Singapura dan Brunei Darussalam.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, Munafik 2 dijangka ditayangkan di 50 pawagam seluruh Indonesia.

Katanya, jika ia mendapat sambutan baik di Indonesia, pihak pempamer di negara itu akan menambah jumlah pawagam kepada 100 buah.

“Semuanya bergantung kepada sambutan penonton di Indonesia nanti. Mengikut maklum balas daripada peminat di negara itu menerusi media sosial, rata-ratanya teruja dan tidak sabar mahu menonton Munafik 2.

“Jadi, saya harap mereka (penonton Indonesia) memang betul-betul terujalah untuk menonton dan memberikan sokongan kepada filem ini,” katanya.

Yusof berkata, selain sambutan hangat di negara ini, penonton di Singapura dan Brunei juga memberikan sokongan baik terhadap filem Munafik 2 itu.

“Daripada maklum balas yang saya terima, hingga kini penonton di Singapura dan Brunei masih tidak putus menonton tayangan Munafik 2 di pawagam.

“Saya terharu dengan sokongan diberikan dan menganggap ia rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 5:37 PM