MUHAMMAD Ummar Zayyan. FOTO Ihsan pembaca
Nur Aqidah Azizi

Seremban: Bayi empat bulan yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sini, berkemungkinan menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, berkata, doktor mengesahkan perkara itu ketika membenarkan anak tunggalnya, Muhammad Umar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz dibawa keluar dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Khamis lalu.

“Doktor mengesahkan terdapat sedikit pendarahan di bahagian mata anak saya yang menyebabkannya dia mengalami masalah penglihatan.

“Hasil ujian pendengaran yang dijalankan doktor juga mendapati Muhammad Ummar Zayyan mengalami masalah pendengaran,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Zura Emilia berkata, buat masa ini doktor masih tidak dapat mengesahkan sama ada keadaan anaknya akan kembali pulih seperti sediakala atau sebaliknya.

“Saya hanya ikut apa saja nasihat dan rawatan yang disyorkan doktor. Selain itu, saya dan suami juga mencuba rawatan alternatif bagi memulihkan anak.

“Sedih memang sedih. Tetapi saya tidak boleh putus asa dan lemah semangat. Saya dan suami akan cuba yang terbaik bagi membantu Muhammad Ummar Zayyan,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini anaknya itu, Zura Emilia berkata, anaknya kini tidak lagi memerlukan mesin bantuan pernafasan dan boleh menyusu seperti biasa.

“Dia hanya kurang aktif berbanding dulu dan tidak lagi memberi reaksi kepada bunyi-bunyian di sekeililingnya.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan supaya anak saya kembali pulih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian yang menimpa bayi itu tular di media sosial selepas dikongsi netizen dan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang mengecam pengasuh terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:16 AM