MARIAM. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

“SAYA minta izin untuk berbuka puasa pun dia tak bagi, apa lagi mahu ke tandas,” kata Mariam Mahmud, 66, menceritakan detik dia dan suami, Alias Simin, 67, disamun di rumah mereka di Kampung Pernu, Melaka, Jumaat lalu.

Lebih menyedihkan, kedua-dua warga emas itu hanya berbuka puasa dengan menjadi mangsa belasahan, sebelum dipaksa menelan pil tidur.

“Itulah makanan (pil tidur) berbuka puasa saya dan suami pada hari kejadian,” katanya.

Mariam berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, kira-kira 7 malam.

Katanya, dia sudah membawa sepinggan nasi bersama sayur dan lauk, di hadapan televisyen di ruang tamu rumah.

“Pada mulanya saya dengar orang memberi salam lalu hanya membuka sedikit pintu rumah. Dua lelaki itu bertanya sama ada rumah inap desa di sebelah rumah saya kosong untuk disewa.

“Saya beritahu rumah itu tidak boleh disewa kerana belum dikemas, namun mereka tetap berkeras mahu menyewanya.

“Secara tiba-tiba, kedua-dua mereka meluru ke dalam rumah lalu menumbuk di bahagian muka dan menyepak pinggul saya,” katanya yang mengalami bengkak di muka, peha dan pinggul, selain lebam di bawah mata dan rahang.

Sementara itu, Alias berkata, ketika kejadian dia baru pulang dari kebun dan sejurus tiba di rumah pada 7.15 malam berasa hairan apabila pintu rumah dikunci dari dalam.

“Sebaik pak cik membuka pintu dan melangkah masuk, seorang daripada dua lelaki terbabit terus mengunci leher menggunakan lengan dari arah belakang.

“Dia mengacukan kacip pinang ke leher sebelum menggunakan pisau pemotong sayur yang diambil di dapur rumah.

“Selepas pak cik dan isteri diikat menggunakan kabel pengecaj telefon bimbit, kami minta untuk menunaikan solat, tetapi mereka tidak benarkan,” katanya yang tidak dapat mengecam wajah suspek kerana tidak memakai cermin mata.

Alias berkata, suspek menggunakan kereta Perodua Axia berwarna perak dan kedua-duanya dianggarkan berusia 30 dan 40-an.

“Kejadian ini membuatkan saya dan isteri akan lebih berhati-hati selepas ini dan berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes samun berkenaan,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, pasangan warga emas berkenaan disamun dua lelaki membabitkan kerugian lebih RM23,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 4:35 PM