ZIZI Kirana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir

Sepanjang sembilan tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, Zizi Kirana sudah mencuba pelbagai jenis muzik. Antaranya, balada, pop, tradisional dan dangdut.

Malah, Zizi, 33, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim ketujuh pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cat dan Nukilan sebelum memilih bergerak secara solo.

Malangnya, semua percubaan Zizi belum menjadi. Dalam erti kata lain tuah belum berpihak kepadanya untuk menempa nama.

Namun begitu, Zizi tidak pernah berputus asa. Pertaruhannya mempersembahkan genre hip hop menerusi lagu Boleh Jalan (2016) dan Nak Ke Tak Nak (2017) mengubah landskap seni Zizi.

Siapa sangka, pada usia 10 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian, Zizi mengakui baru jumpa identiti muzik dirinya iaitu hip hop.

“Sejujurnya, saya selesa dan berasakan muzik ini secocok dengan jiwa saya. Kebolehan rap dicungkil oleh Malique ketika menganggotai kumpulan Nukilan. Dia beritahu, saya sesuai jadi rapper. Selepas bergerak solo, saya diberi peluang untuk merakamkan lagu dan rap sendiri.

“Tak sangka pula, ia mendapat perhatian terutama selepas dua lagu berkenaan tular. Sejak itu, saya yakin untuk terus kekal dalam muzik ini.

“Saya tidak pernah menyesal menyanyikan pelbagai jenis lagu sebelum ini. Saya percaya lambat atau cepat rezeki pasti tiba. Sekarang, saya tidak perlu ragu-ragu lagi untuk muncul dengan single baru,” katanya.

Bukan saja mampu menyanyi rap dengan baik, Zizi juga berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan rapper lain yang digelar Rapper 16 Baris.

Kemunculannya pada konsert 16 Baris yang membabitkan rapper terkemuka negara baru-baru ini membuka mata banyak pihak akan kemampuan sebenar Zizi dalam genre hip hop.

“Orang selalu cakap, kalau ingin dipanggil rapper perlu menguasai rap 16 baris. Siapa tidak dapat buat, belum boleh dipanggil rapper.

“Secara peribadi, saya tidak mahu meninggi diri dan mencanang kelebihan yang ada. Cukup sekadar orang tahu dan biarkan mereka yang bercerita. Kalau ada yang memuji, saya anggap ia satu penghormatan.

“Pada masa sama, saya masih baru dalam genre ini dan perlu belajar banyak perkara. Apa juga komen dan kritikan, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.


ZIZI Kirana. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Kerjasama dengan Malique

Selain sering bekerjasama dengan komposer dan rapper DJ Fuzz, ramai tidak tahu Zizi antara penyanyi bertuah kerana berpeluang berjumpa dan bekerjasama dengan Malique iaitu bekas anggota Too Phat.

Zizi berkata, dia mula mengenali Malique pada 2012 dan sehingga kini mereka serasi untuk berkolaborasi.

“Apa boleh dikatakan, saya dan Malique serasi. Sepanjang bekerjasama dia tidak pernah marah saya. Pendek kata, bekerja dengannya cukup mudah.

“Pada masa sama, saya bertuah kerana hingga sekarang berpeluang bertemu Malique dan berkarya. Sebelum ini saya selalu ditugaskan menjaga vokal untuk lagu penyanyi lain.

“Insya-Allah, tahun depan kami akan kembali berkolaborasi menerusi lagu ciptaannya,” katanya yang akan melancarkan single Siapa Yang Bab Bab bulan depan.

Perkembangan lain, Zizi masih berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta bagi menjayakan persembahan.

Menurut Zizi, selepas terbabit dalam progam D’ Academy Asia musim kedua (DA 2), dia banyak menerima tawaran menjayakan persembahan lagu dangdut.

“Alhamdulillah, rezeki ini saya tidak pernah tolak. Biarpun saya kini lebih dikenali dalam muzik hip hop, tiada masalah untuk saya menyanyikan apa saja genre termasuk dangdut. Saya tidak mahu mengetepikan semua muzik yang pernah dinyanyikan sebelum ini.

“Bagi saya, menjadi seorang penghibur kena versatil. Jadi, ini yang cuba saya ketengahkan. Walaupun terdapat persepsi negatif dalam kalangan rapper lain, saya okey sahaja. Lagi pula, tidak ada sebab untuk saya tolak rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:30 AM