GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar


KANAK-KANAK perempuan empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 7.10 pagi itu, mangsa dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak 6 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia tujuh tahun ke tadika di Blok D PPR berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, menurut kakak mangsa, dia tidak mengejutkan adiknya itu seperti kebiasaan kerana sedang demam dan tidur.

"Ketika kakak mangsa dan seorang lagi adiknya keluar rumah kira-kira 7 pagi, mangsa sedang tidur.

"Apabila balik, kakak mangsa diberitahu oleh jiran yang adiknya jatuh dan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan di rumah mangsa menemui kerusi plastik di ruang balkoni yang tidak bertutup dengan jeriji di bahagian atasnya.

"Kita percaya mangsa memanjat berhampiran jeriji menggunakan kerusi plastik itu sebelum terjatuh.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat," kata Mohd Zani.

Sementara itu, seorang penyelia keselamatan PPR berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Param memberitahu, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang bertugas di blok berhampiran.

"Saya diberitahu ada budak terjatuh dan terus bergegas ke tempat kejadian sebelum beberapa penduduk menghubungi talian kecemasan.

"Ada yang mengatakan mangsa mungkin terjatuh ketika cuba mencapai baju yang dijemur di balkoni kerana ketika kejadian, mangsa hanya memakai seluar pendek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:47 AM