Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

POLIS memohon bantuan orang ramai bagi mengesan tiga suspek bagi menyelesaikan kes penganiayaan kucing yang dibunuh di dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, tiga lelaki berkenaan dipercayai berusia lingkungan 30 tahun hingga 40 tahun dicari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.

Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis itu, polis berjaya memperoleh gambar ketiga-tiga lelaki dan sedang mengesan mereka bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Menerusi rakaman CCTV diperoleh, polis berjaya mendapatkan foto ketiga-tiga lelaki berkenaan.

“Jadi, orang ramai yang melihat atau mengetahui lokasi ketiga-tiga lelaki itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyelesaikan kes itu dan segala maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Najmi di talian 017-9291359 atau menghubungi terus mana-mana balai polis berdekatan.

Pada kejadian 12.30 tengah malam Selasa lalu, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan membunuh seekor kucing bunting dengan meletakkan dalam mesin pengering pakaian.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam oleh CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Bangkai haiwan itu ditemui seorang pelanggan lain pada jam 10.30 pagi apabila ingin menggunakan mesin pengering berkenaan.

Sebuah pertubuhan yang memperjuangkan nasib haiwan kemudian membuat laporan polis.

Berita berkaitan

''Kejamnya! [METROTV]''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 10:13 PM