Mohd Said menunjukkan keratan akhbar lama tertera gambar Hermann.
Suzianah Jiffar
suzianah@nstp.com.my

Kota Kinabalu

Lagu Sabah Tanah Airku yang menjadi lagu kebesaran rasmi Sabah berkumandang selama 55 tahun sejak negeri ini ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara.

Bagaimanapun, mungkin ramai terutama generasi muda masih tidak tahu sejarah dan siapa penggubah lagu kebesaran negeri ini yang dicipta begitu indah dengan bait-bait lirik penuh semangat patriotik.

Mengupas mengenainya kepada Harian Metro, Pengarah Arkib Sabah, Mohd Said Hinayat berkata, lagu Sabah Tanah Airku pada asalnya dikenali sebagai Sabah yang digubah HB Hermann dari Geyland Road, Singapura.

“Lagu Sabah Tanah Airku sebenarnya adalah lagu kebesaran negeri ini dan pada asalnya dikenali sebagai Sabah. Pada 16 Mei 1963, lagu ciptaan Hermann ini menang pada satu pertandingan di Borneo Utara.

“Lagu itu turut diumumkan sebagai lagu kebesaran Sabah (Borneo Utara ketika itu) selepas mengatasi 34 peserta lain dari Malaya, Singapura dan Brunei. Buat julung kalinya, pada masa itu, lagu berkenaan dimainkan oleh pancaragam polis Borneo Utara.

“Buat pertama kalinya lagu itu berkumandang di radio pada 18 Julai 1963,” katanya sambil menambah, salinan asal lirik lagu ciptaan Hermann turut disimpan di Arkib Sabah.

Lagu ini dikatakan dipasang setiap hari di corong radio di Borneo Utara pada awal Julai 1963 sehingga tarikh perisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Dikatakan, pemimpin Sabah pada waktu itu, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephen yang mengarahkan pasukan Pancaragam Polis Tentera Borneo Utara pada masa itu untuk mengadakan pertandingan penciptaan lagu rasmi negeri ini.

Mohd Said berkata, walaupun lagu itu digubah oleh orang luar tetapi ia diterima sebagai lagu kebesaran negeri dan perlu dihormati.

“Saya fikir untuk menyanyikan lagu ini tiada masalah, semua boleh menyanyi tetapi mungkin secara mendalam siapa penggubahnya dan sejarah lagu ini, mungkin ramai tidak tahu. Ini yang kita mahu agar lebih ramai tahu sejarah negeri termasuk lagu Sabah Tanah Airku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pihak yang menyimpan sejarah mengenai Sabah atau mahu membuat kajian bagaimana Sabah mendapat namanya.

“Jika ada yang mahu menyumbang, kami juga alu-alukan. Kami mahu lebih banyak bahan atau maklumat termasuk gambar untuk disimpan dan menjadi pameran di Arkib negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 5:45 AM