RUSTAM (kiri) membantu pekerjanya di pusat pengumpulan getah di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar

Alor Gajah: Hujan berterusan di sekitar Masjid Tanah di sini, sejak Khamis lalu menyebabkan nasib penoreh dan peraih getah seolah-olah jatuh ditimpa tangga.

Kejatuhan harga getah ke paras RM1.90 sekilogram diburukkan lagi dengan hujan pada sebelah pagi selama empat hari mulai Khamis lalu.

Sudahlah terpaksa menelan kepahitan akibat harga getah terlalu rendah, penoreh terpaksa menggantung sementara pisau torehan manakala peraih getah sekadar terpaksa berpuas hati dengan jumlah kutipan yang merudum teruk.

Penoreh, Husin Dollah, 57, berkata sejak harga getah merudum pada awal tahun lalu, pendapatan bulanannya merosot kepada antara RM400 hingga RM600 sebulan dan dengan wang itulah dia menyara kehidupannya bersama-sama isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.

“Musim hujan sekarang menambah keperitan hidup saya sekeluarga dan untuk menampung perbelanjaan, saya terpaksa mengambil upah memotong rumput di rumah orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Ayer Molek, Lubok Cina Masjid Tanah, semalam.

Peraih getah beku, Rustam Ma’ali, 34, berkata musim hujan menyebabkan belian getah bekunya merosot daripada tiga tan sehari kepada hanya 1.5 tan sehari.


RUSTAM (kanan) dan pekerjanya memindahkan getah beku ke dalam lori. FOTO Hassan Omar

“Kalau hujan sebelah pagi, ada segelintir penoreh menoreh pada sebelah petang dan dengan hasil torehan itulah saya mendapatkan bekalan untuk saya hantar ke kilang di Tampin.

“Bagaimanapun, jika hujan berterusan dari pagi hingga petang, saya tidak dapat apa-apa bekalan kerana tiada sesiapa pun yang menoreh,” katanya.

Rustam berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan harga getah beku semasa yang terlalu rendah, kebanyakan penoreh terpaksa terus memastikan pokok getah mereka ditoreh demi sesuap nasi.

Bagaimanapun, kesanggupan mereka berkorban untuk keluarga itu semakin tercabar akibat musim hujan sekarang.

Sehubungan itu, peraih dan penoreh amat berharap kerajaan mampu membantu meringankan bebanan berkenaan dengan menyediakan berita gembira untuk mereka dalam pembentangan Bajet 2019 tidak lama lagi.

Antara lain, penoreh dan peraih getah meminta kerajaan menaikkan sedikit kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berbanding kadar semasa RM2.20 bagi setiap kilogram getah beku yang dijual penoreh kepada peraih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:29 AM