ANAK bongsu daripada 13 adik beradik bersama ibu dan anak saudaranya menunjukkan surat kebenaran kahwin dengan pasangan berusia 44 tahun pada 18 Julai lalu. FOTO Syamsi Suhaimi
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


REMAJA berusia 15 tahun dari Kampung Laut 3, Tumpat, bertindak memfailkan sendiri permohonan kepada Mahkamah Syariah untuk berkahwin dengan lelaki berusia 44 tahun, dua minggu sebelum pernikahan mereka pada Julai lalu.

Sumber memberitahu NSTP, remaja itu memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Tumpat pada 2 Julai lalu.

Anak bongsu daripada 13 beradik itu, ditemani ibu bapanya ketika dia membuat permohonan itu.

Sumber berkata, permohonan bagi mereka yang bawah umur untuk berkahwin adalah di bawah Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad ketika ditemui NSTP di pejabatnya mengesahkan Mahkamah Rendah Syariah Tumpat meluluskan permohonan remaja itu untuk berkahwin dengan lelaki berusia 44 tahun yang berasal dari Gua Musang itu.

“Selepas diteliti permohonan remaja itu untuk berkahwin dan mendapati remaja itu menepati segala syarat yang diperlukan, pihak mahkamah meluluskan permohonan gadis itu,” katanya.

Daud berkata, penyelidikan oleh pihak mahkamah juga mendapati tiada unsur paksaan dalam perkahwinan yang diadakan pada 18 Julai itu dan remaja itu bersetuju untuk menikahi lelaki yang juga seorang duda itu.

Akhbar NSTP melaporkan Selasa lalu kesempitan hidup memaksa suami isteri yang mempunyai 13 anak membenarkan anak bongsu mereka berusia 15 tahun mendirikan rumah tangga pada Julai lalu.

Perkahwinan remaja terbabit dengan pasangan berusia 44 tahun itu sekali gus menjadikan dia kes remaja bawah umur kedua di Kelantan yang berkahwin pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 1:23 PM