PASUKAN mencari dan menyelamat mendengar taklimat sebelum meneruskan pencarian mangsa (gambar kecil) di Gunung Singai. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Bau: Pencarian seorang lelaki porkan hilang ketika mendaki Gunung Singai sejak empat hari lalu menemui jalan buntu.

Walaupun keseluruhan kawasan berkenaan sudah diperiksa pasukan mencari dan menyelamat (SAR) namun mangsa masih gagal ditemui.

Lebih 150 petugas terbabit dalam operasi SAR termasuk 30 anggota bomba, 30 anggota tentera, 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 15 anggota polis, lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) manakala selebihnya penduduk kampung serta ahli beberapa persatuan mendaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Ebby Hirwandy Sarbini berkata, sehingga semalam pencarian dilakukan di semua kawasan di sekeliling gunung berkenaan yang hanya meliputi kawasan seluas enam kilometer.

“Kawasan kaki gunung itu ada perkampungan penduduk, dengan jalan raya turut mengelilinginya.

“Mustahil dia (mangsa) tidak menemui jalan keluar kerana jika dia keluar dari kaki gunung itu, pasti akan menemui jalan raya.

“Sejak mangsa dilaporkan hilang Isnin lalu, semua sudut hutan itu sudah kami cari, termasuk di dalam anak sungai di kaki gunung itu, namun mangsa gagal ditemui,” katanya.


GAMBAR terakhir yang dihantar mangsa sebelum hilang. FOTO Mohd Roji Kawi

Dalam kejadian Isnin lalu, Stanley Kho, 22, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian jam 8 pagi dan laporan dibuat pada hari sama jam 4.35 petang.

Kehilangan Stanley disedari tiga rakannya yang menemui keretanya diletakkan di kaki gunung berkenaan.

Selasa lalu, mangsa menghantar kedudukan lokasinya disertai dengan video berdurasi empat saat.

Bagaimanapun, Ebby Hirwandy berkata, selepas dipadankan dengan peta sebenar, lokasi yang dihantar menerusi aplikasi WeChat itu tersasar di luar kawasan gunung berkenaan iaitu di Kampung Tanjung Poting.


LOKASI yang dihantar mangsa menerusi aplikasi WeChat. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 9:35 AM