ZAMANI ingin naikkan semula namanya dalam industri muzik. FOTO/FAIL
ZAMANI ingin naikkan semula namanya dalam industri muzik. FOTO/FAIL
Michelle Gun


BIARPUN bergelar penyanyi legenda, Zamani sanggup bermula dari bawah dengan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ke-5 (GV5) yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Lebih dua dekad mencipta nama dalam industri muzik, anggota kumpulan Slam ini menjelaskan keputusannya menyertai GV5 kerana mahu keluar dari zon keselesaan.

“Lepas 23 tahun nyanyi lagu sendiri dan Slam, sudah tiba masa saya cuba genre lain.

“Ini peluang baik untuk saya menjadi versatil, pada masa sama menaikkan semula nama dalam industri muzik,” jelasnya.

Penyanyi berusia 45 tahun ini mengakui ada pihak kurang bersetuju dengan keputusannya berikutan sudah dilabel sebagaiartis otai.

“Macam-macam maklum balas saya terima. Ada yang mempersoalkan, kenapa seorang legenda perlu masuk program realiti.

“Malah, anggota Slam ada yang bersetuju dan ada juga tidak. Namun, saya sudah menjelaskan kepada mereka tujuan sebenar menyertai GV5.

“Bagi saya, perkataan legenda sekadar gelaran, tidak salah untuk saya bermula dari bawah,” katanya.

Tambah Zamani, dia sudah bersedia berdepan komen juri, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim.

“Tiada masalah kalau teguran itu memberi tunjuk ajar. Bagi saya, kalau mahu terus maju perlu berani ke depan.

“Sekiranya takut berdepan cabaran, kita akan terus berada di takuk lama,” katanya.

Mengulas ramalan ramai yang menjangka dia bakal menjuarai program realiti itu, Zamani cuma berdoa diberikan kesihatan baik sepanjang pertandingan.

“Tak kisah hingga tahap mana saya dapat pergi waima tersingkir awal.

“Saya harap sepanjang program ini berlangsung kesihatan sentiasa baik dan dapat memberi persembahan memuaskan hati,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan diri, penyanyi itu berkata, dia bersenam agar bertenaga ketika beraksi di atas pentas nanti. Selain Zamani, GV5 turut disertai Shafie Rio, Amelina, Maya Matahari, Dia Fadilla, Hetty Sarlene, Noryn Aziz, Safura Yaacob dan Farahwahida.

Peserta berkumpulan pula ialah Elite, Forteen dan Billy Zulkarnain. Sebelum ini, penyanyi AyaiIlusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3) dan Aishah (GV4) pernah dinobatkan juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 4:00 AM