ANIDA ketika ditemu ramah. FOTO/FAIL


KETIKA ini penyanyi baru dilihat mendominasi carta lagu di stesen radio tempatan.

Pada masa sama, lagu penyanyi lama yang dulunya begitu popular semakin tenggelam dan seakan-akan tidak lagi dihargai.

Difahamkan, bakat dan karya hebat daripada penyanyi lama semakin dipinggirkan stesen radio apabila usia mereka semakin meningkat.

Penyanyi popular era 1990-an, Nora dalam satu temu bual baru-baru ini mengakui dia sudah penat untuk muncul dengan lagu yang dihasilkan semata-mata untuk dimainkan di stesen radio saja.

Lebih menyedihkan, ada stesen radio meletakkan syarat untuk penyanyi yang mahu lagu mereka dimainkan mestilah berusia 35 tahun ke bawah.

Bukankah syarat itu membunuh kerjaya dan mematikan industri muzik itu sendiri?

Kafe Ahad minggu ini mendapatkan jawapan daripada Pengurus Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim bagi menjawab segala persoalan dan rungutan penyanyi lama mengenai karya mereka sukar menembusi stesen radio tempatan.

Bagaimana pemilihan lagu baru dibuat untuk dimainkan di stesen radio?

Setiap stesen radio mempunyai cara tersendiri dalam memilih lagu baru untuk dimainkan di stesen radio mereka. Di Rangkaian Radio Media Prima, kami menerima lagu baru daripada syarikat rakaman atau artis persendirian yang diwakili artis atau pengurus.

Kemudian setiap lagu akan dihantar untuk menjalani ujian muzik di mana kami akan menerima maklum balas pendengar terhadap lagu terbabit.

Ujian muzik ini dijalankan pihak ketiga di mana mereka sudah mempunyai data pendengar yang mengikuti stesen radio kami. Jika di Hot FM, sasaran pendengar kami bermula dari usia 10 hingga 30 tahun ke atas. Mereka ini akan menjadi juri muzik yang menilai sejauh mana lagu itu dapat diterima orang ramai.

Memang diakui kali pertama lagu itu diberikan ada yang kurang minat, jadi kami akan menghantar lagu terbabit beberapa kali untuk melihat potensinya. Kadang-kadang ada banyak faktor yang menyebabkan sesebuah lagu pantas mendapat perhatian meluas. Contohnya, jika ia sudah tular di media sosial atau penstriman muzik.

Sejak kebelakangan ini ramai penyanyi senior merungut apabila lagu baru mereka sukar menembusi stesen radio tempatan. Apakah punca sebenar masalah ini?

Sebenarnya pihak kami amat mengalu-alukan karya dan muzik yang mereka bawakan. Bagaimanapun, setiap lagu akan melalui proses penilaian yang dilakukan pendengar. Malah, kami juga akan melihat sejauh mana lagu itu di platform media sosial atau muzik penstriman kerana ia sudah menjadi medium penting untuk pendengar sekarang. Tidak dinafikan ia menjadi sumber rujukan untuk kami mengenal pasti sesebuah lagu baru yang menjadi sebutan.

Namun apa yang penting adalah penilaian pendengar kerana itu adalah rujukan kami mengenai hala tuju kedudukan sesebuah lagu itu.

Tambahan pula kami adalah radio format yang tentunya terarah kepada jenama dan konsep yang sudah ditetapkan. Kami memiliki dua stesen radio Melayu yang berbeza format dan pendengar sasaran iaitu Hot FM dan Kool FM.

Jadi, ada lagu yang tidak diterima kelompok pendengar tertentu, tapi diminati pula golongan lain. Kami akan melihat di mana kesesuaian sesebuah lagu yang diberikan.

Tidakkah anda rasa cara pengkhususan atau format yang dibuat ini akan membunuh industri penyiaran kerana hanya terdapat kelompok pendengar tertentu untuk sebuah stesen radio?

Kaedah format radio di Malaysia bermula pada lewat 1990-an dan ia sangat penting kerana stesen radio dapat mengenal pasti sasaran audien yang mereka ingin memberi hiburan selain cara terbaik untuk memasarkan sesuatu produk.

Ia termasuklah dari segi penyampaian dan kandungan yang dibawakan. Ia juga mudah untuk kita berhubung dengan para pengiklan kerana mereka ingin mengetahui profil syarikat .

Saya tidak melihat pengkhususan yang dibuat ini akan membunuh industri penyiaran kerana saya merasakan format ini mempunyai kelebihan sebab dapat membantu dari segi pengkhususan.

Sekiranya anda masuk ke laman web Hot FM atau Kool FM, kami ada menyediakan pelbagai lagu yang berbeza genre. Pendengar boleh memilih lagu yang mereka ingin dengar di laman web kami dan ini juga adalah salah satu inisiatif kami untuk memastikan lagu yang sedia ada terus diingati.

Bagaimana dengan nasib penyanyi lama ini apabila lagu mereka dilihat sukar menembusi stesen radio. Ini kerana dulu stesen radio sering memberi alasan bahawa lagu yang diperkenalkan tidak menepati konsep stesen radio atau genre pilihan masa kini. Terbaru faktor usia pula dijadikan isu. Tidakkah itu melampau?

Sebenarnya faktor usia bukanlah isu besar. Apa yang penting adalah lagu itu sendiri. Sepanjang saya berkhidmat dalam dunia penyiaran radio, ada lagu daripada penyanyi lama yang kami terima dan mainkan. Sebagai contoh lagu Ketentuan nyanyian Ramlah Ram dan beberapa lagu yang dinyanyikan penyanyi lama.

Ada beberapa lagu yang dinyanyikan penyanyi lama menepati selera pendengar selepas ujian muzik dilakukan. Dan, sekarang ini ramai artis lama muncul dengan single baru seperti Misha Omar, Siti Sarah, Siti Nordiana yang kami mainkan. Ini menunjukkan karya mereka itu boleh diterima dan mengikut peredaran zaman.

Apakah kekurangan penyanyi lama ini yang menyebabkan stesen radio tidak mahu menerima sesebuah lagu. Adakah ada antara mereka syok sendiri?

Barangkali ada penyanyi yang berpegang teguh terhadap genre muzik yang mereka bawakan tapi apa yang mereka suka itu kadang-kadang bukan kehendak sekarang. Jadi, pendengar tidak boleh menerima muzik yang dibawakan.

Bagaimanapun, sebagai orang dalam industri penyiaran radio kami akan menyokong setiap karya yang diperkenalkan, tapi dalam hal ini pendengar yang menentukan lagu yang mereka ingin dengar untuk kami mainkan.

Kami akan pastikan setiap lagu yang dibawakan menjadi pilihan pendengar serta sentiasa menerima permintaan.

Untuk menjawab soalan ini dengan lebih lanjut saya susah nak cakap kerana sesuatu karya itu bersifat sangat subjektif.

Ada penyanyi lama ini menganggap semakin meningkat usia semakin stesen radio menjauhkan diri untuk menerima karya mereka. Apa komen anda?

Tidak. Kami sangat mengalukan mana-mana karya daripada sesiapa saja termasuk penyanyi baru yang tidak dikenali ramai. Kadang-kadang kami tidak kenal penyanyi itu dan tiada publisiti dibuat untuknya sedangkan lagu yang dibawakan berkualiti.

Kami lagi mengalu-alukan penyanyi lama kerana sudah tahu karya dan kualiti lagu yang pernah mereka hasilkan. Tiada istilah makin lama dalam industri muzik makin kami tak mahu mainkan lagu. Tidak sama sekali.

Bagaimana pula mengenai lagu popular yang sedia ada dinyanyikan penyanyi lama yang tidak juga dimainkan di stesen radio. Tidakkah itu juga membunuh karya mereka?

Baiklah. Setiap lagu lama dan baru kami akan hantar ke ujian muzik terlebih dulu. Saya beri contoh jelas, apabila kita bergerak tahun ke tahun ada generasi baru yang hadir. Jadi adakah mereka akan menerima lagu era 1970-an yang tidak pernah mereka dengar?

Di sini kita perlu realistik. Takkan kami nak mainkan, tapi tiada pendengar yang mahu mendengar. Ia menyukarkan kami dalam situasi ini. Jadi, kami akan mengikut perubahan dan kehendak pendengar.

Mengapa stesen radio sekarang terlalu bergantung kepada platform digital sedangkan suatu masa lalu stesen radio menjadi penggerak utama evolusi muzik tempatan?

Kami tidak bergantung kepada platform digital semata-mata. Saya ingin memberi penekanan bahawa sebagai sebuah kandungan media sangat penting untuk kami melakukan rujukan.

Contoh saya bekerja di sebuah stesen radio dan kemudian saya mendengar sebuah lagu ini menjadi tular, tapi saya tiada lagu ini.

Tentu saya akan berusaha untuk mendapatkan lagu itu dengan apa cara sekalipun bagi memastikan stesen radio kami memainkan lagu itu kerana ia mempunyai potensi besar.

Takkan kami nak tunggu untuk mendapatkan lagu itu dan pasti stesen radio kami akan dianggap ketinggalan.

Pada masa sama, ada juga lagu yang diberikan terus kepada kami kemudian berjaya ketika melalui proses ujian muzik. Dalam era sekarang ini muzik penstriman boleh dianggap sebagai 'partner' untuk mempunyai kandungan bersama sebagai satu rujukan.

Mudah kata penyanyi lama ini perlu berfikiran terbuka dan mempelajari cara untuk menggunakan platform digital?

Pada zaman sekarang ini semua platform perlu digunakan. Setiap penyanyi perlu mengikut evolusi dan perkara ini tidak salah kerana sudah sedia ada.

Jika dulu tidak banyak cabang untuk mempromosikan sesebuah lagu tapi sekarang ini banyak platform disediakan. Tambahan pula, setiap individu pasti menggunakan telefon pintar jadi ia mudah diakses semua lapisan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 5:50 AM