Nurul Amanina Suhaini
cnews@nstp.com.my

JENAZAH komposer terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah, selamat tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada 10.18 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham yang tiba dari Batam, Indonesia, dengan menggunakan bot khas, disambut oleh anak dan ahli keluarga terdekat.

Wakil keluarga, Abdul Raziff Abdul Rani, 56, berkata Allahyarham yang pergi ke Batam, Indonesia, kira-kira tiga hari lalu atas urusan keluarga, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

“Saya mewakili pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan hadir pada hari ini.

“Urusan jenazah semua akan dibawa ke Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan akan disembahyangkan sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang Kampung Baru, Kuala Lumpur, selepas waktu zuhur," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pasir Gudang, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada jam 3.02 petang semalam.

Allahyarham Pak Ngah dikenali sebagai `bapa irama Malaysia' dan disifatkan sebagai pejuang negara yang mempertahankan irama Malaysia.

Allahyarham aktif mencipta dan menerbitkan lagu artis terkenal tanah air termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:21 AM
JENAZAH Pak Ngah selepas tiba di Terminal Feri Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin