INA (nama samaran) antara tiga ibu yang ditahan dalam operasi AADK di sekitar Kuantan. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: “Rasa sedih dan ingin berubah apabila terkenang wajah anak yang menangis serta meratapi keadaan saya ketika ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumah.

“Tetapi bukan senang untuk bebas daripada belenggu dadah, kekuatan itu saya cari selama ini namun gagal”.

Itu pengakuan ibu tujuh anak dengan yang bongsu berusia tujuh bulan mengenai nasibnya yang terjerumus ke kancah penagihan dadah sejak empat tahun lalu selepas ditahan anggota AADK di rumahnya di Taman Tas di sini, kelmarin.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 29, memaklumkan ditahan jam 8 pagi ketika tidur. Ujian mendapati dia positif methamphetamine.

“Ketika saya dibawa keluar dari rumah, anak perempuan yang berusia 13 tahun menangis dan merayu kepada anggota AADK supaya jangan bawa saya pergi. Saya sedih lihat dia begitu.

“Saya berbohong mengatakan saya hanya ke hospital untuk menjalani rawatan,” katanya di Pejabat AADK Kuantan, semalam.

Ina mendakwa dia terjebak dengan syabu daripada bekas suami yang juga pengedar dadah.

Katanya, bekas suami menggalakkannya mengambil syabu ketika tertekan dan mereka sering menghisap dadah dalam bilik.

“Saya tidak hisap depan anak, tetapi mereka tahu saya ambil dadah. Sebagai ibu memang tidak mahu anak ikut jejak langkah kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuantan Norhaffizah Ibrahim berkata, operasi dijalankan bermula jam 3 pagi kelmarin hingga jam 4 pagi semalam.

“Kami menahan 31 individu termasuk tiga wanita. Semuanya berusia 23 hingga 55 tahun dan ditahan di sekitar daerah ini.

“Saringan air kencing dijalankan mendapati 19 positif heroin, 10 penagih syabu, seorang positif ganja dan seorang negatif,” katanya.

Norhaffizah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:44 AM