FOTO Yazit Razali & Sairien Nafis
Mohd Firdaus Ibrahim dan Noriza Sainal

Kuala Lumpur: Setiap bulan sekumpulan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang belot memperoleh ratusan ribu ringgit hasil wang haram menerusi aktiviti penyeludupan migran dijalankan bersama seorang ejen.

Namun, aktiviti sindiket penyeludupan migran aktif sejak setahun lalu itu dihidu bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila ketuanya menayangkan gaya hidup mewah hasil wang haram kepada umum menerusi akaun Facebook miliknya.

Lelaki berusia 30-an itu dikesan memuat naik gambar percutiannya di Eropah, selain joli sakan di pusat beli-belah terkemuka ibu kota.

Difahamkan lelaki itu berbelanja sehingga RM200,000 dengan membeli pelbagai barangan dalam masa sehari.

Aktiviti mereka lumpuh dan ketujuh-tujuh individu itu dicekup SPRM dalam Op Silent di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 8 pagi semalam.

Dalam operasi itu, SPRM menahan ketua sindiket bergred KP19, lima pegawai imigresen termasuk seorang wanita masing-masing bergred KP17 hingga KP22 dan seorang orang awam yang juga ejen warga asing.

Sumber SPRM mendedahkan kepada Harian Metro pergerakan ketua sindiket terbabit dan enam ahli yang lain dipantau pasukan risikan SPRM sejak setahun lalu.

Beliau berkata, sindiket yang ditumpaskan adalah satu daripada 15 sindiket penyeludupan warga asing yang dikesan aktif dan turut membabitkan segelintir pegawai imigresen.

“Mereka membantu penduduk tempatan dan warga asing termasuk penjenayah masuk atau keluar melalui KLIA serta lapangan terbang antarabangsa lain di negara ini.

“Dengan bantuan mereka 200 individu dengan pelbagai latar belakang termasuk yang memiliki rekod jenayah terlepas ke negara ini setiap bulan. Malah, hasil risikan mendapati sindiket memperoleh bayaran sehingga RM300,000 sebulan.

“Hasil pemantauan mendapati sindiket pernah mengaut laba sehingga RM275,000 dalam tempoh hanya dua hari hasil kerja haram berkenaan. Ini rekod tertinggi pernah mereka buat,” katanya.


LAPORAN Harian Metro 8 Disember 2017.

Diminta memperincikan modus operandi digunakan, sumber berkata, sindiket mengenakan bayaran antara RM600 hingga RM6,000 bagi melepaskan individu disenarai hitam, tidak cukup syarat atau tidak layak masuk atau keluar ke negara ini.

“Antara warga asing yang diseludup sindiket itu dari China, Vietnam, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Indonesia, Nigeria, Nepal, Iran dan Uzbekistan.

“Caj paling tinggi dikenakan sindiket kepada warga Bangladesh mengikut status perjalanan mereka. Sindiket kenakan RM4,000 jika mempunyai dokumen sah, RM6,000 jika dihalang masuk ke negara ini dan RM5,000 jika dokumen perjalanan palsu,” katanya.

Bagi urusan membabitkan warga asing dalam kalangan penjenayah, pelacur mahupun individu terbabit dalam aktiviti pengganas sumber memberitahu migran itu akan menghubungi ejen menjadi orang tengah kepada ketua sindiket (pegawai imigresen).


LAPORAN Harian Metro 9 Disember 2017.

“Ejen (warga tempatan) menyimpan salinan jadual waktu kerja pegawai imigresen termasuk ketua sindiket. Jadi, dia akan mengarahkan warga asing yang mahu masuk atau keluar untuk membeli tiket penerbangan masing-masing pada hari pegawai imigresen itu bertugas.

“Individu disenarai hitam diminta memberi nama, nombor pasport, nombor penerbangan, tarikh dan masa ketibaannya.

“Manakala pegawai imigresen memaklumkan kepada ejen nombor kaunter perlu dilalui migran itu agar urusan untuk masuk atau keluar dilakukan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Jelasnya, ejen hanya menyerahkan habuan kepada ketua sindiket selepas migran melepasi pemeriksaan imigresen.

Upah RM2,000 diberikan kepada ejen terbabit sebagai orang tengah bagi setiap urusan.

Katanya, taktik sama dikesan digunakan secara meluas oleh warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong bagi memasuki negara ini untuk bekerja.


LAPORAN Harian Metro 13 Disember 2017.

Selain itu, sumber sama mendedahkan, sindiket diketuai pegawai imigresen terbabit turut membantu menyeludup masuk atau keluar rakyat Malaysia disenarai hitam bagi kes membabitkan kegagalan membayar hutang atau terbabit aktiviti jenayah.

Malah ia membabitkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu keluar negara.

Keenam-enam pegawai JIM dan seorang ejen itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 26D Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Difahamkan SPRM akan mendapatkan kebenaran perintah tahanan reman ke atas semua suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, jam 9 pagi hari ini.

Penahanan keenam-enam pegawai imigresen dan seorang ejen disahkan Pengarah Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Bagaimanapun beliau, enggan mengulas lanjut berhubung kes sedang disiasat.


LAPORAN Harian Metro 14 Disember 2017.

Harian Metro dalam laporan bersiri bermula 7 Disember tahun lalu hasil koloborasi dengan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman mendedahkan mengenai kegiatan membawa masuk migran di KLIA selepas berjaya menahan 11 ahli sindiket dan 33 migran Bangladesh hasil risikan selama tujuh bulan.

Empat dalang utama iaitu Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom yang juga digelar sebagai Raja Seludup itu dilapor memperoleh laba RM5.2 juta setahun turut berjaya dikenal pasti hasil risikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 10:00 AM