KEADAAN musnah di Palu, Sulawesi selepas dibadai tsunami. FOTO AFP
Reuters

PALU, INDONESIA: Sebahagian besar mangsa yang terbunuh akibat tsunami melanda pantai di Palu, Sulawesi, kelmarin ialah orang ramai yang berkumpul untuk festival pantai sempena satu perayaan bandar berkenaan.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, mereka dilanda ombak setinggi sehingga enam meter menghanyutkan mangsa ke pantai serta memusnahkan apa saja yang berada dalam laluan.

“Tsunami bukan hanya membawa air, ia mengheret kereta, kayu, rumah, segala-galanya di darat,” katanya.

Menurutnya, tsunami dengan kelajuan hingga 800 kilometer sejam membawa kemusnahan besar termasuk bangunan dan jambatan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai keadaan di Donggala, Sulawesi berikutan hubungan terputus sama sekali dengan bandar perikanan itu selepas dua gempa bumi melanda pulau berkenaan.

Gempa pertama sekuat 6.5 magnitud diikuti gempa kedua 7.5 magnitud jam 6.02 petang waktu tempatan.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, pasukan sudah dihantar ke Donggala.

Donggala berada lebih dekat dengan pusat gempa iaitu kira-kira 50 kilometer manakala Palu, 70 kilometer.

Sutopo berkata, berikutan kedudukan Donggala yang lebuh dekat dengan pusat gempa, kesannya dijangka lebih teruk.

Lapangan terbang Palu sudah dibuka petang semalam, selepas ditutup akibat kerosakan pada menara kawalan trafik.

Presiden Joko Widodo dijangka melawat kawasan gempa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 10:00 AM