EZAM. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Mohd Firdaus Ibrahim dan Noriza Sainal

Kuala Lumpur: Tugas hakikinya adalah menyelamatkan nyawa mangsa dan harta benda dalam kebakaran namun minat mendalam dalam bidang sukan bina badan bukan saja berjaya mengangkat namanya di persada dunia malah turut mengharumkan nama negara.

Ezam Aziery Mamat, 34, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata, hobinya dalam bidang sukan bina badan bermula sejak kecil.

“Sejak kecil saya suka lihat badan orang berotot. Mudah cakap dari kecil jugalah saya tanam hasrat nak jadi abang sado,” katanya yang menggondol emas bagi katogeri 80 kilogram (kg)-90kg pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia 2018 Chungju, Korea Selatan.

Beliau berkata, dia memilih kerjaya sebagai anggota bomba kerana suka kerja yang mencabar.

“Tugas dalam bomba ini mencabar. Kita terbabit dalam memadamkan kebakaran, menyelamatkan mangsa yang sememangnya memerlukan tenaga dan kudrat. Tugas mulia ini sangat memerlukan stamina dan tubuh yang sihat.

“Kita perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi tanggungjawab atau tuntutan tugas,” katanya yang sudah berumahtangga dan mempunyai dua anak.


EZAM memperagakan susuk tubuh yang berotot ketika menyertai Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia di Labuan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Untuk rekod, Ezam juga bergelar pemenang emas bagi Mr Malaysia pada 2015, Mr Awt Terbuka Malaysia dan pemenang tempat kedua Mr Malaysia 2018.

Beliau juga menasihatkan pemuda yang mahu menjadi anggota bomba supaya kuat dari segi mental dan ikhlas dalam melakukan tugasan.

“Buat peminat sukan bina badan pula, berusaha dan berdisiplin pasti anda berjaya. Jangan putus asa,” katanya.

Untuk rekod, Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cemerlang apabila meraih kedudukan ketiga secara keseluruhan pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia 2018 di Chungju, Korea Selatan.

Pada temasya itu, kontinjen negara memenangi 11 pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, sekali gus mengatasi sasaran awal iaitu lima emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:11 AM