Siti Nur Mas Erah Amran dan Kalbana Perimbanayagam

HUJAN lebat menyebabkan arus kuat sekali gus membentuk pusaran air di lokasi kejadian ketika operasi menyelamat dijalankan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid berkata, keenam-enam anggota bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban bergelut untuk keluar daripada pusaran terbabit namun gagal.

“Terdapat pusaran di kawasan terbabit dan anggota di tebing nampak kesemua mangsa bergelut untuk keluar dari pusaran itu.

“Anggota di lokasi cuba mengeluarkan kesemua mangsa dan bantuan kecemasan turut diberikan namun kesemuanya gagal diselamatkan.

“Kita dapati terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran air deras dan melimpah ke tebing.

“Bagaimanapun, kita akan lakukan siasatan dalaman supaya dapat elakkan kejadian ini daripada berulang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Serdang, malam tadi.

Empat anggota PPDA Pelabuhan Klang yang lemas adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman,33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari,25 adalah anggota PPDA Shah Alam

Katanya, semua mayat akan dibedah siasat hari ini.

“Semua jenazah kemudiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk solat jenazah dan akan diberikan penghormatan terakhir.

“Pengebumian akan dilaksanakan di lokasi masing-masing dan setiap balai yang terbabit akan bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi melancarkan urusan.

“Kejadian ini sememangnya amat tidak dijangka dan kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.

“Pertama kejadian sebegini berlaku selepas kami pernah kehilangan dua penyelam di dasar laut beberapa tahun lalu,” katanya.

Berita berkaitan

Lemas lepas terbelit tali

6 bomba lemas dikenal pasti

Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 1:52 AM
FOTO terakhir sebelum kejadian.