FAZURA (kiri) pada majlis Fazura’s Birthday Tea Party anjuran Tru Dolly yang berlangsung di sebuah hotel terkenal, baru-baru ini. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected] hmetro.com.my

MENGINJAK usia 35 tahun yang diraikan pada 27 September lalu, pelakon Nur Fazura Sharifuddin mengakui dirinya semakin matang dalam kehidupan.

Paling utama, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini gembira kerana perjalanan kariernya sebagai artis dan ahli perniagaan turut sukses seiring kebahagiaan yang dikecapinya bersama suami tercinta.

“Alhamdulillah, saya tak nak cakap lebih-lebih kerana nanti orang kata mengada-ngada. Saya tak nak orang kata terlebih riyak, tapi syukurlah Allah kurniakan kebahagiaan.

“Tak sangka orang kata dulu yang tak nak kahwin ini, dapat merasa manisnya perkahwinan apabila ada orang jaga. Contohnya baru-baru ini saya masuk hospital, Fattah sanggup temankan saya walaupun katil hanya satu.

“Dia berjaga sepanjang malam untuk saya. Ini membuktikan dia suami yang sangat baik dan sentiasa akan ada saat susah senang dan sentiasa jaga saya,” katanya yang ditemui pada majlis Fazura’s Birthday Tea Party anjuran Tru Dolly yang berlangsung di sebuah hotel terkenal, baru-baru ini.

Fazura mengakui dirinya selesa bersendirian sebelum bertemu Fattah dan gembira dengan apa yang dilaluinya suatu ketika dulu.

“Saya okey kalau tak kahwin dan tak kisah orang nak gelar andartu dan sebagainya. Saya tak ambil kisah dan lebih senang dengan diri sendiri. Tapi apabila Allah kurniakan Fattah sebagai suami, saya tak sangka kehidupan akan jadi lebih lengkap, lebih bahagia dan gembira,” katanya.

Bercakap mengenai karier pula, Fazura yang pernah menghasilkan album berjudul Fazura tahun lalu melahirkan perasaan gembiranya kerana baru saja merakamkan single terbarunya di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

“Ini pertama kali saya dapat peluang sepenuhnya untuk belajar tulis lirik lagu sendiri. Di sana, saya bekerjasama dengan dua penerbit iaitu Willy Beamen dan Cameron Forbes.

“Mereka bukan baru kerana pernah bekerja dengan Greyson, Demi Lovato, Nicky Minaj dan ramai nama besar di sana. Tapi, mereka masih muda, sangat berbakat dan begitu merendah diri,” katanya.

Bercerita lanjut, Fazura berkata, daripada kosong mereka berkurung dalam studio itu sehingga berjaya menyiapkan lagu yang sempurna.

“Kami cipta bermula daripada lirik, tempo dan semuanya bersama. Lagunya berjaya disiapkan dalam tempoh sehari. Saya jumpa mereka dalam jam 12 tengah hari dan pada jam 7 petang semuanya selesai dan kemudian melalui proses rakaman.

“Lagu yang berjudul sementara Can’t Forget Me itu dirasakan mampu memikat hati peminat. Liriknya dihasilkan bersama Cameron,” katanya.

Menurutnya, lagu itu mengajak wanita memperkasa diri walaupun selepas berpisah dengan kekasih.

“Ia akan dihasilkan dalam bentuk single terlebih dahulu oleh Universal Music Malaysia. Mereka akan edarkan di peringkat global.

“Saya dan Fattah kini bernaung di bawah syarikat rakaman sama dan bakal merakamkan sebuah album duet tak lama lagi. Album itu nanti berkonsepkan kisah cinta kami dan mengandungi lagu baru dan lama antaranya lagu Jangan Ada Dusta Di Antara Kita nyanyian Dewi Yull dan Broery Marantika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:31 AM