Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kasih ibu terhadap anaknya tiada batas. Itu gambaran bagi Hamizah Azlan, 28, yang sanggup mendermakan sebahagian hati untuk anak tunggalnya yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Namun malangnya Hamizah bersama suaminya, Mohd Riduan Mhd Yunan, 38, buntu untuk mengumpul RM80,000 bagi membiayai kos pemindahan hati anak mereka, Ahmad Zeyad Mohd Riduan di Hospital Renji, Shanghai, China.

Menurut Mohd Riduan, doktor menyatakan jangka hayat bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit biliary atresia adalah dua tahun sekiranya tiada pembedahan hati dilakukan.

“Ahmad Zeyad sudah berusia setahun enam bulan dan disebabkan itu, doktor meminta kami menyegerakan pembedahan untuknya.

“Dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan, Nadi Permata, kami berjaya kumpul RM120,000 sehingga kini.

“Kos penuh pembedahan untuk anak saya ini adalah RM200,000 dan kami berdua yang bekerja di Majlis Perbandaran Kajang masing-masing sebagai penghantar surat dan penolong pegawai pertanian buntu untuk mencari baki wang bagi membiayai kos pembedahan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Katanya, selepas dibuat ujian padanan hati, kedua-dua mereka yang berdarah kumpulan O+ sesuai untuk mendermakan sebahagian hati kepada Ahmad Zeyad namun atas saranan doktor, Hamizah bersedia mendermakan organnya itu.

Menurutnya, Ahmad Zeyad dikesan mengalami penyakit itu selepas 14 hari dilahirkan dan ketika berusia 55 hari, dia sudah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur untuk membuang saluran hempedu.

“Bagaimanapun selepas pemantauan selama enam bulan, doktor mengesahkan pembedahan itu gagal dan Ahmad Zeyad perlu menjalani pemindahan hati untuk membolehkannya sihat seperti kanak-kanak lain.


MOHD Riduan Mhd Yunan bersama isteri Hamizah Azlan dan anaknya Ahmad Zeyad Mohd Riduan yang menghidap penyakit dan memerlukan bantuan bagi rawatan pemindahan. FOTO Hafiz Sohaimi

“Kami dirujuk ke PPUM dan anak kami diberikan rawatan bagi membolehkannya mencapai berat badan ideal sebanyak lapan kilogram selain ada doktor dari China yang memeriksanya untuk tujuan pembedahan,” katanya.

Mohd Riduan berkata, doktor memberitahunya Ahmad Zeyad berpeluang untuk sihat dan hidup tanpa komplikasi seperti perut kembung, tidak bergerak aktif dan tiada masalah kulit kekuningan seperti sekarang.

“Sekarang Ahmad Zeyad bergantung pada mesin dan tiub untuk susunya serta hanya baring di atas katil.

“Dia juga selesa jika tidur dalam dukungan berbanding atas katil akibat keadaan fizikalnya. Dia akan tidur satu jam setengah, selepas itu berjaga dan dua jam kemudian tidur semula, itu adalah rutin hariannya.

“Harapan kami agar dia dapat bergerak dan hidup aktif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Mohd Riduan berkata, pembedahan anaknya dijadualkan berlangsung dalam tempoh 15 hingga 20 Oktober ini berikutan doktor di China sudah membuat tempahan dan sekiranya mereka gagal mengumpul dana untuk pembedahan, prosedur itu akan ditangguhkan lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank milik Mohd Riduan, 512026662113.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:59 AM