ANGGOTA bomba memadam kebakaran treler dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


KEMALANGAN treler dan kereta di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Ipoh, hari ini dipercayai membabitkan dua korban yang rentung akibat terperangkap dalam kereta.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh terdapat dua mangsa yang terperangkap dan rentung dalam kemalangan itu.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun belum dapat disahkan kerana kerja-kerja memgalihkan treler berkenaan sedang giat dijalankan.

“Berdasarkan maklumat awal treler berkenaan membawa muatan bijih besi dan sedang dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor menuju ke Pulau Pinang.

“Operasi kini tertumpu kepada proses pemadaman saki baki bara api dan bantuan agensi lain termasuk pihak PLUS bagi mengalihkan bijih besi yang berada di atas treler dengan menggunakan jengkaut.

“Keadaan lalu lintas ketika ini juga dilaporkan sesak bagi kedua-dua arah,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai Mohd Taufiq Abd Sattar dan pegawai kanan bomba yang hadir adalah Ketua Zon 1 Perak, Norazlina Rabak’aee (Pegawai Bahagian Penyiasatan Kebakaran).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 4:54 PM