Zahratulhayat Mat Arif


HANYA jeritan lemah meminta tolong didengari saksi kemalangan ngeri membabitkan treler dan sebuah yang terbakar hingga mengakibatkan lima orang dipercayai satu keluarga rentung di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, hari ini.

Nurul Amelia Amran yang sedang memandu dari arah bertentangan berkata, ketika berselisih dengan kereta mangsa beberapa minit selepas kemalangan itu, dia mendengar jeritan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta meminta tolong.

Menurutnya, ketika kejadian keretanya hanya beberapa meter dari kereta mangsa dan dia berasa sangat terkilan kerana tidak mampu menolong mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke arah Ipoh dari Kuala Kangsar dan nampak semuanya dengan mata sendiri...dari jauh saya nampak treler itu menghampiri kereta mangsa sehingga ia dihimpit di antara treler dan pembahagi jalan.

“Ketika kereta saya berselisih dengan kenderaan yang kemalangan itu, saya terdengar suara seorang perempuan meminta tolong.

“Suara itu sangat lemah, tetapi saya boleh dengar kerana berada tidak jauh dari kejadian itu dan saya berhenti di bahu jalan untuk melihat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, hari ini.

Nurul Amelia berkata, ramai pengguna lebuh raya lain yang berhenti untuk menolong mangsa di dalam kereta itu, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.

Dalam kemalangan pada 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti semua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan treler yang membawa muatan biji besi (amang) dengan kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan kerana ia terbakar.

“Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan hilang kawalan menyebabkan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

“Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini, lima disahkan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, pemandu treler berusia 41 tahun pula tidak cedera dan dan maklumat lanjut semua mangsa akan diberikan sebaik pegawai penyiasat memperolehinya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Lima rentung sebenarnya...[METROTV]'

'Dua dipercayai rentung'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 10:02 PM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran treler dan kereta dalam kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, yang menyebabkan lima mangsa rentung, hari ini. FOTO ihsan bomba.