Khairul Azran Hussin
khaiazr@nstp.com.my

JENAZAH tokoh agama, Tan Sri Hassan Azhari selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Shah Alam, 9.40 pagi, hari ini.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam, pada usia 90 tahun.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengebumian itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Allahyarham mempunyai 22 anak hasil perkahwinannya dengan tiga isteri iaitu Allahyarhamah Puan Sri Sahara Abdul Samad, Maimunah Abdul Ghani dan Khadijah Yusuf.

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ustaz Hassan pesan usah lupa solat...

'[UPDATE] Sujud syukur terakhir Ustaz Hassan [METROTV]'

'Ustaz Hassan Azhari meninggal dunia'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 10:15 AM