Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

"ADA mangsa yang singgah ke masjid ini hanya tinggal sehelai sepinggang.

"Jadi, kami kariah masjid memutuskan untuk menyediakan pakaian dewasa, kanak-kanak dan bayi untuk diberikan kepada mereka," kata Hasanuddin Yusof, 57.Panitia Pembangunan Masjid Nurul Huda Tasiu, Kecamatan Kalukku, di Mamuju, Sulawesi Barat.

Katanya, masjid terbabit menjadi tempat persinggahan mangsa gempa bumi dan tsunami Palu yang akan ke Makassar atau tempat lain untuk mencari tempat selamat berikutan kemusnahan Palu akibat bencana berkenaan.

Menurutnya, setiap hari masjid itu turut menyediakan jamuan ringan bukan saja kepada mangsa, malah kepada sesiapa saja yang singgah termasuk sukarelawan misi bantuan ke Palu.

Beliau ditemui wartawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Palu anjuran Muslim Malaysia Society (Muslim Care) berkata, niat penduduk setempat hanya satu iaitu membantu sesama manusia yang sedang mengalami kesempitan.

“Apabila kita memudahkan urusan manusia sedang sulit, insya-Allah urusan kita juga dipermudahkan Tuhan.

“Kami turut sama merasai kesedihan atas penderitaan dialami penduduk Palu, Donggala dan Sigi akibat dilanda badai bencana alam yang dahsyat," katanya.

Dalam persinggahan misi ke masjid itu untuk tunaikan solat Maghrib, semalam, Muslim Care turut memberikan sumbangan wang tunai yang disampaikan Timbalan Presidennya Johari Ismail kepada Imam Masjid Nurul Huda Tasiu, Muhammad Adha Ajing, 32.

Orang ramai yang mahu membantu mangsa bencana ini boleh hulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

Slip sumbangan boleh diberi menerusi SMS atau WhatsApp kepada Ustaz Rashdan 017-3333881, Ustaz Safuan 013-4886447, Haji Johari 016-9978323 atau Haji Zulkifli 019-2518771.

Sementara itu, tinjauan wartawan di hentian khemah kemanusiaan di tepi jalan dari arah Palu ke Makassar dan menuju Palu di Mamuju Tengah mendapati ramai mangsa bencana singgah di situ.

Mangsa, Rustam Hamzah, 39, dari daerah Balaroa, Palu Barat berkata, kejadian bencana gempa bumi 7.7 magnitud itu sebenarnya turut mencetuskan kebakaran yang memusnahkan hampir 80 hektar kawasan di daerah itu.

“Daerah tempat tinggal kami tidak dilanda tsunami sebab agak jauh dari pantai.

"Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah disebabkan kebakaran apabila penduduk yang sedang sibuk memasak meninggalkan rumah akibat gempa bumi.

"Saya sempat lari ke arah bukit sejurus gegaran pertama berlaku. Lebih 60 peratus kediaman musnah apabila tanah menjulang naik dan menimbus apa saja yang ada.

“Memburukkan keadaan apabila banyak rumah terbakar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:57 PM
Balaroa, Palu Barat, antara daerah terjejas teruk. FOTO Amir Abd Hamid