BANYAK majlis perkahwinan terganggu akibat tindakan syarikat katerer melarikan diri selepas ambil duit tempahan.
Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: “Perancangan kami untuk melaksanakan majlis perkahwinan anak sulung dengan meriah berkecai apabila ditipu syarikat katering itu.

“Mujurlah kami dapat tahu sehari sebelum majlis berlangsung dan dapatlah kami tempah makanan daripada pihak katerer lain untuk dihidangkan kepada tetamu,” kata Azizul Mohd Sohor, 55, yang turut menjadi mangsa penipuan syarikat katering yang menggunakan artis sebagai duta.

Dia kerugian RM12,416 selepas membuat pembayaran kepada syarikat berkenaan bagi tempahan makanan untuk majlis perkahwinan anak lelakinya, Muhammad Syafiq, 28, yang berlangsung di kediaman mereka di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Malah, keluarganya terpaksa membayar khidmat katerer syarikat lain bagi memastikan majlis perkahwinan terbabit dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan berikutan semua tetamu sudah dijemput.

Menurut Azizul, pihaknya mengambil keputusan membuat tempahan makanan dengan syarikat katering berkenaan memandangkan jirannya pernah mendapatkan khidmat syarikat terbabit sebelum itu.

“Kami berhubung dengan kakitangan syarikat terbabit pada Julai lalu dan hasil persetujuan bersama, kami membuat pembayaran RM12,416 bagi pakej makanan, peralatan kerusi meja, khemah, audio dan jurugambar.

“Bagaimanapun sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung, kami dihubungi oleh individu yang menyediakan khidmat khemah dan mereka memaklumkan tidak dapat menghantar peralatan berkenaan kerana pihaknya tidak menerima bayaran daripada syarikat itu.

“Susulan itu, saya menghubungi kakitangan syarikat terbabit yang dikenali sebagai Aisyah dan dia maklumkan akan hubungi saya kembali selepas berbincang dengan majikannya.

“Namun dia tidak menghubungi saya kembali dan gagal dihubungi membuatkan saya bersama keluarga terpaksa mendapatkan khidmat katering lain dengan bayaran RM9,000 untuk memastikan majlis dapat dilaksanakan,” katanya.

Azizul berkata, pihaknya melaporkan kes berkenaan di Balai Polis Nilai, kelmarin untuk tindakan lanjut.

“Saya difahamkan premis syarikat terbabit juga sudah dikosongkan dan pemiliknya menghilangkan diri.

“Malah ramai pelanggan sudah membuat pembayaran dengan syarikat berkenaan dan kami harap syarikat terbabit dapat membayar kembali wang yang diserahkan pelanggan.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat mengesan pemilik syarikat terbabit untuk dikenakan tindakan undang-undang berkenaan kerana menipu,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan puluhan pasangan pengantin di lima negeri menjadi mangsa sebuah syarikat katering yang menggunakan artis terkenal sebagai duta.

Bagi mendapatkan maklum balas syarikat katering terbabit, wartawan menghubungi talian telefon pemiliknya, tetapi tidak berhasil apabila individu berkenaan gagal dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 7:58 AM