FOTO Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang kini berada di pasaran kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk berkenaan termasuk Diamond Gold Skin Care - Diamond Gold Day Cream; Diamond Gold Skin Care - Diamond Gold Night Cream; Diamond Gold Skin Care - Diamond Gold Treatment Cream; Alora Night Glowing Cream; Karisma Nightcream Kunyit; Karisma Daycream dan Karisma Treatment Sarang Burung.

Selain itu, produk lain adalah Seputih Melati Night Cream Whitening; Seputih Melati Night Cream Glowing; Majaja Serum Channtiq; SYMA Magical Serum; SYMA Facial Cleanser; Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk-produk kosmetik berkenaan sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan kerana dikesan mengandungi bahan racun berjadual.

Beliau berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine sepatutnya perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

“Bagaimanapun, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Katanya, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Namun beliau berkata, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Dr Noor Hisham berkata, produk yang dicampur palsu dengan diphenhydramine pula bertujuan memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

Menurutnya, penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

Dalam pada itu katanya, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti-penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan.

“Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan penjual dan pengedar produk-produk kosmetik berkenaan supaya menghentikan penjualan dan pengedaran dengan dengan serta-merta.

Katanya, penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat pula, mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Selain itu katanya, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 12:50 PM