HASLIMI Hassan, 42, mengharungi perjalanan hampir 1,000 kilometer dari Daro ke Kuching dengan hanya menaiki motosikal kapcai demi anak kesayangannya, Aileya Syafiera, 2, yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS). FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


SANGGUP meredah perjalanan lebih 1,000 kilometer dari Mukah ke Kuching hanya menaiki motosikal ‘kapcai’ demi anak tersayang.

Itu pengorbanan ayah, Haslimi Hassan, 42, dari Kampung Badong, Daro, demi anak perempuannya, Aileya Syafiera, 2, yang menderita kanser otot dan sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.

“Perjalanan menaiki motosikal dari Daro ke Kuching mengambil masa 12 hingga 13 jam bergantung kepada keadaan jalan dan cuaca. Kebiasaannya, saya memulakan perjalanan 7 pagi dan tiba di Kuching pada 8 malam.

“Sepanjang perjalanan itu, saya berehat beberapa kali untuk melepaskan penat sambil menghilangkan rasa mengantuk,” katanya ketika ditemui NSTP, di Mukah, hari ini.

Haslimi berkata, dia mula bermotosikal ke Kuching sejak anak perempuannya itu dirujuk ke HUS pada Mei dan Jun lalu.

Kata Haslimi, dia sekali lagi berbuat demikian apabila Alieya menerima rawatan susulan kali ketiga pada 9 Oktober lalu.


MUKAH 12 OKTOBER 2018 (SWK333C). Aileya Syafira Haslimi, 2. STR/KHALID LATIP

“Saya memilih motosikal bagi menjimatkan kos. Lagipun, saya lebih bebas bergerak berbanding terpaksa menunggu jika menggunakan kenderaan awam.

“Ada ketikanya, saya terpaksa berhenti jika hujan lebat, angin kencang dan ribut petir. Sepanjang perjalanan itu, hanya Tuhan yang tahu bertapa risaunya hati saya apabila mengenang keadaan Alieya.

“Malah, setiap kali melihat anak bergelut menahan kesakitan, perasaan saya dan isteri bagai direntap. Kami hanya mampu menahan kesedihan dalam hati,” ujarnya.

Haslimi bersama isteri Khatizah Azmi, 30, tidak menyangka puteri kesayangan mereka itu menderita kanser otot tahap tiga kerana anaknya itu baru dikesan mengalami bengkak di belakang paha kanan April lalu.

“Tidak lama selepas itu, Aileya dirujuk ke HUS di Kuching dan pakar mengesahkan dia menderita penyakit berkenaan.

“Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menanggung derita sebegitu, namun kami sedaya upaya berusaha untuk memastikan apa saja penawar dapat diberikan asalkan kanser itu dapat dipulihkan. Saya juga mengharapkan doa, agar anak saya segera sembuh,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, sumbangan ikhlas boleh disalurkan melalui akaun Agro Bank Haslimi Hassan (2-00-6842-00001524-4)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 4:08 PM