Inteam (Dari kiri), Abdul Rahim, Mohd Syahril dan Muhammad Hazamin terkejut dengan sambutan peminat. FOTO fail HM Digital/Youtube
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


KUMPULAN nasyid Inteam terkejut dengan sambutan peminat terhadap muzik video lagu terbaru mereka berjudul Dia yang menduduki tangga ‘trending’ kedua di YouTube.

Video itu mendapat 300,000 tontonan dalam masa satu hari sejak dilancarkan pada 5 Oktober lalu.

Trio nasyid dianggotai oleh Mohd Syahril Ab Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.

Syahril atau dikenali sebagai Syah Inteam berkata, mereka turut mendapat reaksi penonton menyatakan kesedihan mereka sehingga menitiskan air mata apabila menonton muzik video ini.

“Kami melihat muzik video yang menampilkan Norman Hakim dan Memey Suhaiza sebagai pelakon ini amat berkesan.

“Ia sangat menyentuh hati dan begitu kena dengan lagu dan lirik disampaikan. Turut ditampilkan dalam cerita ini ialah anak-anak mereka, Awish serta Kikim dan kedua-duanya turut menunjukkan lakonan yang mengesankan.

“Sehingga kini muzik video Dia sudah mencecah tontonan sebanyak 419,267 tontonan dan mencapai sehingga lebih 3,754 komen dan 33,000 like,” katanya kepada Harian Metro.

Muzik video itu mengisahkan pasangan suami isteri yang bahagia dengan dua orang cahaya mata yang comel namun teruji dengan satu peristiwa di mana suaminya didapati hilang ketika menjalankan misi kemanusiaan di Gaza.

Biarpun terselamat, si suami buta kedua mata akibat kemalangan letupan yang berlaku di Gaza serta berada di dalam dilema untuk pulang kepada keluarganya kerana tidak mahu membebankan mereka.

Namun akhirnya, mereka dipertemukan semula dalam suasana yang penuh menyentuh perasaan.

Menurut Syah, sebahagian netizen yang memberikan komen, turut mengaitkan jalan cerita video ini dengan pengorbanan enam orang wira anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas.

“Malah netizen turut mendoakan keluarga mereka diberikan kekuatan dan kesabaran.

“Kami amat berbesar hati apabila muzik video ini turut dikongsikan oleh beberapa selebriti terkenal.

“Selain Norman dan Memey sendiri, Datuk Alif Syukri dan Syamsul Yusof turut berkongsi video ini di Instagram masing-masing,” katanya.

Rata-rata peminat Inteam juga menyifatkan lagu ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syah Inteam ini serta muzik video yang dihasilkan adalah kepulangan semula atau ‘comeback’ Inteam dengan lagu yang hampir menyamai konsep lagu-lagu popular mereka suatu masa dahulu seperti Nur Kasih, Impian Kasih dan Kasih Kekasih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 5:13 PM