Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


“RAMAI netizen memuji lagu ‘Hikayat Ben Ladin’ (versi ukelele) ini kerana ‘catchy’,” kata Ahmad Sobri Muzammil Hussain, 26, guru muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mahkota FELDA Aping Timur, Kota Tinggi.

Menurutnya, ramai memuji persembahan spontan 20 anak muridnya yang tular di laman sosial Facebook (FB) selepas memuat naik persembahan ukulele Hikayat Ben Ladin berdurasi satu minit 30 saat di bilik muzik sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Ahmad Sobri pernah memuat naik muzik ukulele ‘Comel Pipi Merah’ hingga video pendek berdurasi empat minit, yang menjadi eksperimen kedua guru berkenaan terhadap persembahan anak muridnya mendapat pujian netizen.

Katanya, video dimuat naik kali ini agak menarik kerana turut menampilkan ‘rapper’ sekolah itu, Muhamad Zulfirzan Jamaludin, 9.

“Mulanya, kami memilih seorang murid lain, tetapi bakat Muhammad Zulfirzan atau dikenali Firzan lebih menyerlah untuk membawakan lagu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, paling membanggakan dirinya apabila usaha membawakan ukulele ke sekolah itu mendapat perhatian pihak luar.

“Alhamdulillah, walaupun muzik itu diajar pada waktu lapang terutama pada waktu rehat, bakat murid sekolah ini bermain ukulele sangat membanggakan.

“Kami juga dijemput membuat persembahan sempena Festival Ukelele Kuala Lumpur pada 18 November ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 20 murid sekolah itu akan membuat persembahan dengan turut disertai peserta dari beberapa negara lain termasuk Hong Kong dan Filipina.

“Festival itu julung kali diadakan dan kami berbangga kerana menjadi antara peserta yang akan membuat persembahan kelak,” katanya.

Guru itu berkata, murid-muridnya akan membawa lima lagu secara ukulele termasuk Keroncong Kemahsyuran, Begawan Solo, Hikayat Ben Ladin dan medley ‘Seasons In The Sun’.

Katanya, muzik ukulele semakin diminati dalam kalangan murid di negeri ini, namun masih ramai belum menemui rentak dan dalam proses memahirkan diri.

“Kebetulan saya sering memuat naik muzik (ukelele) itu dan ia sering mendapat perhatian netizen yang mengikuti laman sosial FB,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 9:49 PM
MURID Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota FELDA Aping Timur, Kota Tinggi berlatih menyanyikan lagu 'Hikayat Ben Ladin' versi ukelele untuk persembahan. FOTO/VIDEO Ihsan Facebook Ahmad Sobri Muzammil Hussain.