PELAKON, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS sebulan berehat kerana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst sebesar lapan sentimeter bulan lalu, pelakon Siti Elizad kini sudah bersedia dan cukup kuat untuk kembali bekerja.

Elizad, 34, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata, dia juga tidak sabar beraksi depan kamera dengan menjayakan dua tawaran drama yang diterima ketika dalam tempoh berehat.

Menurut Elizad, dia yang sepatutnya fokus pada bahagian luka pembedahan bagaimanapun tidak boleh duduk diam, sebaliknya tetap ingin berjalan dan menjalani rutin harian seperti biasa.

“Saya seorang yang kuat bekerja dan tidak boleh duduk diam. Jadi, selepas pembedahan saya dinasihati untuk berehat sepenuhnya supaya kesan pembedahan cepat sembuh.

“Namun, sebaliknya ada saja yang ingin saya buat hingga sanggup menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan. Kalau duduk dalam rumah seharian boleh sakit kepala dibuatnya.

“Mungkin disebabkan sudah terbiasa bekerja tanpa rehat panjang membuatkan ia terbawa-bawa. Suami dan keluarga ada juga menasihati supaya berehat dulu, tetapi saya yakin dengan diri sendiri. Kalau memang tidak boleh buat, baru saya cakap,” katanya.

Elizad berkata, tempoh berehat sebulan dianggap cukup lama dan sudah sampai waktu dia kembali fokus kepada lakonan.

Pada masa sama, tawaran diterima juga tepat pada waktu apabila penggambaran dijalankan selepas sebulan berehat.

“Ketika dalam tempoh berehat lagi saya dapat dua tawaran berlakon. Pada awalnya, pihak produksi bertanya juga sama ada saya cukup sihat untuk kembali bekerja. Mereka tidak mahu memaksa.

“Saya maklumkan kepada mereka, jika penggambaran bulan ini baru okey. Lagipun, sebelum ini saya memang pernah cakap nak kembali bekerja bulan ini. Alhamdulillah, ini rezeki saya. Kalau saya rehat terlalu lama bosan juga.

“Insya-Allah, saya okey. Suami juga mengizinkan saya kembali bekerja macam biasa. Dia pun tahu saya jenis kuat bekerja. Jadi, mahu atau tidak dia akur, cuma dia sentiasa ingatkan supaya jaga kesihatan,” katanya yang terbabit dalam drama Ghaib dan Cinta Tanpa Henti terbitan OrangeTree Production.

Calon Anugerah Skrin 2018

Berita gembira buat Elizad apabila telefilem lakonannya Tulus Cinta termasuk dalam senarai awal pencalonan kategori Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2018 yang bakal berlangsung bulan depan.

Elizad yang kembali popular menerusi drama Teman Lelaki Upahan disebut-sebut bakal tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Maira.

“Alhamdulillah, walaupun ia masih pencalonan awal saya menganggap ini rezeki. Sejujurnya, Tulus Cinta sebuah karya yang begitu menyentuh hati dan berat untuk saya. Watak Maira selalu penghidap leukemia sangat mencabar.

“Namun, saya sudah berikan yang terbaik untuk watak dan cerita ini. Setiap karya lakonan, saya cuba sampaikan mengikut kehendak pengarah. Selagi pengarah tidak puas hati atau berasakan masih ada yang kurang untuk sesuatu babak, saya akan buat sehabis baik.

“Namun begitu, saya tidak pernah menaruh harapan tinggi dalam setiap karya untuk tercalon anugerah. Kalau ada rezeki, adalah dan saya anggap ia bonus untuk diri sendiri atas usaha serta kerja keras,” katanya.

Telefilem arahan Ellie Suriaty itu bakal ditayangkan semula malam ini menerusi slot Cerekarama di TV3.

Selain Elizad, telefilem itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Amar Asyraf, Puteri Aishah, Anne Abdullah, Fazlina Ahmad Daud dan Aman Graseka.

Selain itu, Elizad juga muncul dalam telefilem Setan Dalam Poket yang turut ditayangkan jam 9 malam ini di saluran Astro Citra.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 5:30 AM