Ruwaida Md Zain


PELABUHAN KLANG: Sejak pemergian rakan setugas dan serumahnya, Allahyarham Yahya Ali pada malam 3 Oktober lalu, Mohamad Yusuf Ari, 27, kembali tinggal di rumah sewa mereka awal minggu ini,.

Ia berikutan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang itu tidak sanggup melihat rumah di Sungai Pinang, Pabuhan Klang, berikutan masih terbayangkan wajah dan detik manis bersama arwah.

Mohamad Yusuf berkata, dia sebelum ini mengambil keputusan menetap di rumah abangnya di Kuala Lumpur buat sementara waktu.

"Sehari selepas kejadian, saya pulang seketika ke rumah sewa itu namun tersentak apabila melihat selipar arwah sekali teringat kenangan bersamanya.

"Saya tidak kisah jika hanya berbeza syif dan pasukan namun hubungan kami seperti adik beradik kerana melakukan banyak perkara bersama sejak dua tahun lalu. Apatah lagi, kami juga berasal dari Sarawak," katanya sebak ketika ditemui NSTP di BBP Pelabuhan Klang.

Dalam tragedi 3 Oktober lalu, Yahya, 24, antara enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban dalam operasi mencari remaja lemas di Taman Putra Perdana, Puchong.

Tiga anggota BBP Pelabuhan Klang turut maut iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 dan Mazlan Omarbaki, 25, manakala dua lagi anggota BBP Shah Alam pula iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Mengimbas kembali saat akhir bersama arwah, Mohamad Yusuf berkata, rakannya itu kelihatan pelik kerana bersikap lebih baik dan hormat kepadanya berbanding biasa.

"Sebelum kejadian, dia memanggil saya 'kitak' yang kebiasaannya panggilan lebih hormat bagi rakyat Sarawak.

"Selain itu, dia belanja saya makan sebanyak empat kali berturut-turut sehingga hari tragedi berkenaan," katanya.

Menurutnya, dia turut tidak sempat menonton filem Paskal bersama arwah pada malam kejadian.

"Saya memang rancang mahu belanja Yahya menonton wayang pada jam 10 malam dan menunggu dia pulang ke rumah.

"Namun, saya terkejut menerima panggilan telefon daripada rakan setugas arwah yang memberitahu pasukan PPDA berdepan masalah," katanya.

Kata Mohamad Yusuf, dia terkilan kerana tragedi hitam itu berlaku dalam sekelip mata dan mendoakan roh Allahyaraham ditempatkan di kalangan insan beriman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 3:39 PM
MOHAMAD Yusuf Ari. FOTO Faiz Anuar