AMIRUL sedang berlatih kungfu Wing Chun. FOTO/EMAIL
AMIRUL sedang berlatih kungfu Wing Chun. FOTO/EMAIL
Amir Abd Hamid

KUALA LUMPUR: Mahu menjadi sehebat dan tangkas seperti aktor Hong Kong, mendiang Bruce Lee yang terkenal dalam filem aksi kungfu menyebabkan seorang lelaki sanggup mempelajari seni mempertahankan diri wing chun secara mendalam.

Mohd Amirul Kamarudin, 31, berkata, kemuncak populariti wing chun tersebar meluas seluruh dunia apabila aktor Hong Kong berkenaan yang berguru dengan pelopor seni bela diri itu yang juga legenda kungfu, Ip Man membawa kungfu berkenaan ke layar perak.

Dia yang juga Setiausaha Kehormat Pertubuhan Tradisional Ip Man Wing Chun (TIMWC) Malaysia berkata, lebih membuatkannya teruja untuk mempelajari kungfu itu apabila siri filem Ip Man meletup di pawagam sejak 2008 hasil lakonan Donnie Yen yang membawa watak Ip Man.

“Sebenarnya saya terbabit dalam kungfu ini secara tidak sengaja selepas menonton siri filem Ip Man.

AMIRUL  (berdiri depan, dua kanan) bersama sebahagian pelatih kungfu Wing Chun yang diasaskan lagenda arena kungfu, Ip Man. FOTO/EMAIL
AMIRUL (berdiri depan, dua kanan) bersama sebahagian pelatih kungfu Wing Chun yang diasaskan lagenda arena kungfu, Ip Man. FOTO/EMAIL

“Melihat aksi tangkas pelakon yang mendukung watak Ip Man, Donnie Yen membuatkan saya teruja hendak belajar seni mempertahankan diri berasal dari Foshan, China itu.

“Apatah lagi aksi Bruce Lee yang sesiapa pun takkan jemu melihat filem dilakonkannya juga berguru dengan Ip Man. Kehebatannya mengalahkan lawan dalam mana-mana filem lakonannya sudah cukup untuk saya berangan mahu menjadi sepertinya,” katanya.

Usaha Mohd Amirul berbaloi apabila hanya dalam tempoh dua tahun menyertai seni kungfu itu sejak 2016, dia sudah dianugerahkan kelayakan menjadi jurulatih.

“Tahun lalu saya memenangi pingat perak di pertandingan wing chun yang dipertandingkan di dalam negara, selain memperoleh pingat gangsa acara Chisao di pertandingan wing chun di Bali, Indonesia,” katanya.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Amirol berkata, dia berusaha mencari tempat untuk belajar kungfu berkenaan sebelum menyertai seminar dan latihan asas tradisional Ip Man Wing Chun diajar Sifu Martin Kesuma dari TIMWC Indonesia di ibu negara pada 2016.

BINTANG filem lagenda Hong Kong, Bruce Lee (kiri) sedang berlatih kungfu Wing Chun dengan mahaguru Ip Man. FOTO/EMAIL
BINTANG filem lagenda Hong Kong, Bruce Lee (kiri) sedang berlatih kungfu Wing Chun dengan mahaguru Ip Man. FOTO/EMAIL

Selepas itu, katanya, dia serta rakan mengorak langkah mendaftarkan TIMWC Malaysia dan menariknya ia pertubuhan Ip Man Wing Chun di negara ini yang diuruskan anak Melayu namun penyertaan dibuka kepada semua tanpa mengira batasan kewarganegaraan, kaum, bangsa atau agama.

“Pertubuhan TIMWC Malaysia mengekalkan akar ilmu seni bela diri tradisional Wing Chun secara turun-temurun salasilahnya melalui Mahaguru Ip Ching iaitu anak kedua Mahaguru Ip Man,” katanya yang turut berkemahiran dalam seni Silat Gayong.

Pertubuhan Tradisional Ip Man Wing Chun akan mengadakan seminar secara percuma pada 27 Oktober ini dan sesiapa berminat boleh hubungi Mohd Amirul di 0133578029.

Ip Man pelopor seni bela diri wing chun yang berasal dari wilayah Foshan, China. Dia dilahirkan pada 14 Oktober 1893 dan meninggal dunia pada 1 Disember 1972.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 8:17 AM