BUNKFACE pada pelancaran single bahasa Inggeris, Shiver Bunkface di Universal Music Malaysia, Pataling Jaya. -Foto ASWADI ALIAS.
Syafil Syazwan Jefri


DUA belas tahun bukanlah tempoh yang singkat untuk berkembang dalam industri seni tanah air. Sepanjang tempoh itu, pelbagai pengetahuan mengenai selok-belok industri dapat dipelajari.

Namun, band pop punk Bunkface tidak menganggap usia 12 tahun cukup untuk meletakkan mereka di satu tahap yang tinggi.

Bagi mereka, ilmu perlu terus digali dan sehingga kini masih dalam proses belajar untuk meningkatkan kualiti karya di samping menyajikan sesuatu yang segar kepada peminat.

Terbaru Bunkface mempertaruhkan karya luar daripada kebiasaan mereka berjudul Shiver.

Menurut Sam selaku vokalis dan komposer, Shiver pertaruhan baru yang juga hasil eksperimen Bunkface dalam berkarya.

“Kami sentiasa bereksperimentasi dengan muzik yang dipersembahkan kepada peminat. Shiver adalah satu langkah besar yang kami ambil,” katanya.

Walaupun kedengaran berbeza berbanding muzik pop punk yang diperjuangkan selama ini, ia masih tidak lari daripada genre asal mereka.

“Pop punk adalah satu pecahan daripada muzik pop dan Shiver masih mengekalkan rentak pop. Apa yang berbeza adalah kerana ia disuntik dengan elemen yang lebih segar.

“Perjuangan muzik kami masih sama iaitu mengenai kecintaan terhadap peminat dan lagu yang menaikkan semangat,” katanya.

Menurut Sam, dia mendapati tidak ada lagi genre yang menjadi trend utama dan kedua dalam industri muzik mutakhir ini.

“Muzik hari ini tidak hanya bergantung kepada genre tertentu kerana itu semua sudah tidak wujud. Apa saja idea yang ada, kami ‘campak’ untuk hasilkan karya,” kata Sam.

Bagi Youk pula, dia yakin peminat Bunkface sentiasa terbuka untuk menerima pembaharuan yang diketengahkan.

“Kami hasilkan muzik Shiver kerana nak ‘bermain’ dengan anak muda sekarang dan mengikut apa yang mereka inginkan.

“Jadi, sama ada suka band atau suka muzik yang dibawa oleh band, mereka yang tentukan,” katanya.

Ditanya mengenai penghasilan lagu berbahasa Inggeris, Bunkface menjelaskan mahu kembali ke zaman awal pembabitan sebagai pemuzik.

“Pada awal pembabitan, kami menyanyikan lagu berbahasa Inggeris sebelum popular dengan lagu Melayu. Jadi, kami nak mengembalikan ingatan peminat kepada lagu Inggeris.

“Selain itu, kami juga ingin mengorak langkah lebih jauh dan harapnya album akan datang, Pop yang menampilkan empat lagu Inggeris serta empat lagu Melayu akan berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

MAHU HASILKAN BAND BARU

Sebagai senior dalam industri, Bunkface menyimpan impian menurunkan ilmu mereka kepada generasi baru.

“Kami ada perancangan untuk ada anak didik dan menubuhkan band baru. Namun, sekarang bukan masa yang sesuai untuk merealisasikan hasrat ini,” kata Sam.

Menurutnya, mereka belum puas untuk bekerja keras lebih-lebih lagi dalam senario dunia seni yang kian mencabar.

“Kita dapat lihat ramai bakat baru band muncul beberapa tahun kebelakangan ini. Tugas dan keghairahan kami untuk beraksi belum selesai.

“Kami nak bersaing secara sihat dengan penyanyi baru dan terus kekal relevan. Kalau ada rezeki, satu hari nanti mungkin kami akan tubuhkan satu band lain sebagai penyambung legasi Bunkface,” katanya.

Selain Shiver, Bunkface masih rancak mempromosikan single Apa Pun Tak Boleh hasil kolaborasi bersama Datuk Jeffrydin dan Caprice.

“Kami gabungkan tiga generasi dalam lagu Apa Pun Tak Boleh. Jadi, muziknya juga bercampur antara pop yeh yeh dan hip hop,” kata Sam.

Selain Sam dan Youk Bunkface turut dianggotai Paan selaku pemain gitar utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 6:14 AM