SEORANG penduduk Gaza dilihat berjalan di atas runtuhan kediaman yang dibom tentera rejim zionis. FOTO/AFP
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Biarpun serangan udara dilakukan tentera Israel menggunakan 20 dron dan enam jet pejuang F-16 sudah berhenti namun pihak rejim kini dilapor mengepung seluruh wilayah Gaza menggunakan kereta kebal.

Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi ketika dihubungi berkata, serangan udara terbabit dihentikan kira-kira jam 3 petang (8 malam waktu Malaysia), semalam (kelmarin).

“Benar serangan udara sudah dihentikan. Kerajaan haram Israel menghentikannya sekitar jam 3 petang.

“Namun mereka kini mengepung Semenanjung Gaza dengan puluhan kereta kebal di kawasan sempadan. Kekuatan pasukan tentera mereka juga dilihat ditambah sepanjang sempadan dengan mengetatkan kawalan,” katanya.

Hamza berkata, tiada serangan dilakukan melalui darat oleh kereta kebal milik Israel itu setakat ini.

“Kami dimaklumkan kerajaan Israel mengarahkan pejuang Palestin menghentikan serangan roket ke kawasan jajahan mereka selain menamatkan segera demonstrasi aman Great Return March (GRM) yang dilakukan penduduk Gaza di sepanjang sempadan setiap Jumaat.

“Israel memberikan masa sehingga Jumaat (hari ini). Mereka bertegas melakukan serangan darat jika perarakan ataupun demonstrasi GRM diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Hamza berkata, mengikut data dimiliki pihaknya, seorang maut manakala sembilan lain termasuk enam kanak-kanak cedera dalam serangan, kelmarin.

“Kami masih menunggu data terkini daripada Kementerian Kesihatan Gaza. Saya akan berkongsi dengan rakan di Malaysia apabila memilikinya,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan 20 dron dan enam jet pejuang F-16 digunakan tentera rejim Israel untuk mengebom Gaza.

Serangan udara itu dilakukan di 24 lokasi di seluruh Semenanjung Gaza bermula jam 5 pagi, kelmarin, yang dilaporkan turut menyasarkan kanak-kanak dalam perjalanan ke sekolah.

Antara sasaran pengeboman adalah di Beit Lahya di utara Gaza (3 lokasi), Zaitoun di timur Gaza City (3 lokasi), Gaza City (6 lokasi), Khan Younis di selatan Gaza (8 lokasi) dan Rafah (4 lokasi).

Untuk rekod, GRM dilancarkan penduduk Palestin yang tinggal di Semenanjung Gaza pada 30 Mac dan sepatutnya dijadualkan berakhir 15 Mei lalu. Namun ia diteruskan sehingga kini pada setiap Jumaat.

Sejak GRM bermula, lebih 200 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak maut manakala lebih 2,000 orang mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 8:00 AM