Hujan akan terbabit pada acara Freedom Festival 3 November ini.
Syafil Syazwan Jefri


WALAUPUN sudah 13 tahun dalam industri muzik, Hujan terus kekal bertahan dan berterusan mendapat sokongan peminat.

Bagi mereka, kejayaan dalam industri muzik tanah air bukanlah satu perjalanan yang mudah dan singkat.

Hujan yang dianggotai Noh Salleh selaku penyanyi, AG Coco (gitar), Azham Ahmad (dram) dan Izzat Uzaini (bass) berkongsi pengalaman selain memberi nasihat kepada band generasi baru.

Menurut Noh, sebagai anak seni, mereka perlu sentiasa bersabar dan tidak boleh terburu-buru.

“Sekarang banyak band baru yang muncul. Ia perkembangan yang baik untuk menunjukkan kepesatan industri muzik kita.

“Namun, saya nak tekankan di sini supaya mereka tidak perlu terburu-buru dalam melakukan sesuatu,” katanya.

Menurut Noh, dalam berkarya, kita perlu ikhlas dan jujur kepada muzik yang dihasilkan.

“Setiap orang ada rezeki masing-masing. Sebagai anak seni, berkaryalah dengan jujur dan ikhlas. Insya-Allah, rezeki kalian sudah diatur dengan baik oleh Allah,” katanya.

Meletakkan Kugiran Masdo sebagai contoh yang baik, dia juga berpesan kepada band baru supaya tidak terlalu mengejar populariti.

“Populariti mendadak atau ‘breakthrough’ selalunya misi utama kebanyakan band hari ini. Saya nak ingatkan, dalam melakukan sesuatu, jangan hanya mengejar ‘breakthrough’ kerana kalau tak menjadi, nanti kecewa.

“Ada sesetengah band yang hasilkan album pertama dan anggap itu sebagai ‘masterpiece’. Apabila tidak mendapat sambutan, mulalah nak kecewa dan berputus asa.

“Jangan mudah mengalah. Cuba lagi, perbaiki mana yang kurang dan lakukan dengan lebih baik. Lihat Kugiran Masdo. Perjuangan mereka bukan hanya kerana populariti semata-mata, tetapi kerana ingin berkarya,” katanya.


HUJAN

MASIH PERCAYAKAN ALBUM FIZIKAL

Terbaru, Hujan akan terbabit pada acara Freedom Festival yang akan berlangsung 3 November ini di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.

Tidak hanya sekadar membuat persembahan untuk menghiburkan pengunjung yang hadir, Hujan juga ingin berkongsi rasa cinta mereka kepada negara.

“Negara kita adalah negara yang penuh dengan perpaduan. Dari segi lokasi, ia sudah cukup untuk menunjukkan rasa patriotik kita iaitu di Bandar Malaysia yang pernah menjadi lapangan terbang pertama negara.

“Selain itu, dari sudut artis, ia sudah menunjukkan perpaduan. Akan ada artis ‘otai’ seperti Datuk Zainal Abidin sehinggalah artis generasi baru seperti Mafidz,” katanya.

Tidak hanya Hujan, Zainal Abidin dan Mafidz, pentas konsert Freedom Festival akan turut dihangatkan dengan kehadiran Kugiran Masdo, Resh, Bittersweet, Aman RA, Salam Music, Plague of Happiness, DJ Blink, Pesawat serta Ryot Jones.

Selain itu, Hujan juga bakal melancarkan album box set yang menampilkan lima daripada tujuh album mereka.

“Kami masukkan lima album kami sejak awal pembabitan dan akan menyelitkan beberapa lagu baru,” kata AG.

Menurutnya, walaupun ramai artis yang memilih menghasilkan album digital, masih ada segolongan peminat yang sukakan album fizikal.

“Sekarang, saya dapat lihat ramai peminat mahukan album berbentuk fizikal. Bahkan, ada juga yang masih membeli kaset sebagai koleksi,” katanya.

Kali terakhir Hujan keluarkan album ialah pada April lalu.

“Sambutannya sangat memberangsangkan. Sekarang kami dalam proses untuk cetakan ke-3,000 dan dalam tempoh enam bulan, ia prestasi yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:15 AM