Kalidevi Mogan Kumarappa
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati dan bagi remaja autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 16, perasaan serta memori indah dalam hidupnya dicoret dalam kanvas putih.

Wan Jamila yang lebih selesa berbicara melalui lukisannya dilihat masih tebal dengan sifat pemalu namun sentiasa menguntum senyuman apabila gambarnya melukis dirakam oleh jurugambar.

Disebabkan karakter Wan Jamila yang kurang berbicara, sesi temu bual bersamanya berjalan dengan bantuan ibunya, Noorhashimah Mohamed Noordin, 57, yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Noorhashimah berkata, Wan Jamila yang juga anak keempat daripada lima adik-beradik dikesan menghidap autisme ketika berusia empat tahun selepas menjalani diagnosis di sebuah hospital swasta.


DIANTARA karya yang dihasilkan oleh pelukis autistik, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri di kediamannya, di Seksyen 7 Shah Alam. FOTO Aziah Azmee

“Saya memang sedar anak saya mengalami kesukaran dalam berkomunikasi dan hubungan sosial dengan orang di sekelilingnya.

“Namun saya menganggap itu adalah biasa sehinggalah disahkan doktor pakar.

“Walaupun Wan Jamila mempunyai perwatakan berbeza dengan anak-anak yang lain namun dia adalah anak istimewa yang berbakat besar dalam seni lukis,” katanya yang turut menyediakan studio dan galeri mini untuk anaknya itu di rumah mereka di Seksyen 7, Shah Alam.

Menurutnya, di awal pembabitan Wan Jamila dalam bidang seni, dia dilihat kerap melukis watak manusia dengan interpretasi perasaan sedih, gembira, sedih atau marah.

“Semua lukisan yang dihasilkan menggambarkan keadaan sebenar yang dilalui oleh manusia berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya sendiri dan yang pasti, rupa bentuk manusia dalam setiap lukisan itu semestinya sama atau serupa dengan lukisan lain, cuma temanya berbeza.

“Minatnya terhadap lukisan makin terserlah apabila dia banyak melukis perkara yang berlaku di dalam kelas atau di persekitaran sekolahnya di dalam buku tulis ketika mengikuti persekolahan peringkat rendah di sebuah sekolah swasta.

“Malah sewaktu terbabit dalam persembahan tarian, dia turut melukis semula pergerakan yang perlu dilakukan oleh setiap peserta melalui lukisan,” katanya.

Menurutnya, Wan Jamila sedikit pemalu lebih-lebih lagi dengan orang yang baru dikenalinya namun dia sebenarnya sangat seronok apabila ada pihak ingin mengenali dirinya terutama mereka yang mahu melihat hasil seninya.

Noorhashimah yang kini seorang arkitek profesional berkata, disebabkan ingin memberi sepenuh tumpuan membimbing Wan Jamila, dia mengambil keputusan bersara daripada menjadi pensyarah UiTM pada Disember 2015.

Katanya, sejak Januari lalu, Wan Jamila mendapat bantuan seorang pelukis tempatan untuk membimbingnya mengenai seni lukis secara profesional berikutan remaja itu tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni.

“Kini hasil lukisannya menjadi semakin kemas dan cantik. Malah minatnya terhadap lukisan semakin meningkat apabila melihat kemasnya hasil seninya sendiri.

“Namun adakalanya dia menjadi sensitif apabila ditegur mengenai pemilihan warna hingga mewarnakan semua lukisan itu putih. Dia perlu ditegur secara lembut dan kadangkala kreativiti dan komitmennya melebihi manusia normal.

“Wan Jamila amat menggemari tema wanita berambut panjang, periuk, cawan, penari, model peragaan selain fesyen, bunga-bungaan dan mozek ikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pembabitan Wan Jamila di dalam pameran seni, Noorhashimah berkata, pameran profesional pertama yang disertainya ialah Imago Mundi Malaysia membabitkan peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, Januari lalu, dan yang kedua ialah ArtEDecor Exhibition di Kuala Lumpur dua bulan kemudian.

Katanya, Wan Jamila juga pernah dijemput menjadi tetamu bagi program Nasi Lemak Kopi O yang disiarkan oleh TV9 selain terbabit dalam seminar memperkasa golongan autisme dianjurkan beberapa hospital swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Setakat ini, sebanyak 26 lukisan Wan Jamila sudah dibeli orang kenamaan dan syarikat termasuk Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim dan Tenaga Nasional Berhad.

“Terkini lukisan Wan Jamila diilhamkan dalam bentuk kemeja-T oleh syarikat insurans jaminan kewangan pertama, Danajamin Nasional Berhad sempena Danajamin Mighty Run 2018.

“Syarikat itu membuat keputusan untuk mengetengahkan lukisan Wan Jamila sejajar dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme,” katanya.

Noorhashimah berkata, Wan Jamila mendapat pengiktirafan cukup bermakna apabila terpilih untuk menyertai pelukis profesional dari 21 negara di pameran Langkawi Art Biennale 2019 pada Mac tahun depan.

“Saya berbangga dengan bakat luar biasanya. Wan Jamila kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri yang sudah mencecah puluhan ribu ringgit menerusi penjualan hasil karyanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 9:39 AM
PELUKIS autistik, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri bersama ibu, Noorhashimah Noordin di kediamannya, di Seksyen 7 Shah Alam. FOTO Aziah Azmee