Noorazura Abdul Rahman


“RAMAI yang menghubungi saya untuk menghulurkan sumbangan dan ada yang bertanyakan khabar Azwar, malah panggilan tidak henti-henti dari awal pagi sehingga malam,” kata Che Anisah Md Saad, ibu kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah.

Che Anisah, 42, berkata dia sangat berterima kasih dengan keprihatinan orang ramai untuk membantu anaknya Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11, yang semakin lemah akibat penyakit misteri.

Katanya, keadaan anaknya juga sedikit berpeluh semalam setelah sekian lama tidak mengeluarkan peluh.

Menurut Che Anisah, berkemungkinan keadaan anaknya itu disebabkan doa orang ramai terhadap Azwar selepas berita mengenainya tersiar dalam Harian Metro.

“Setiap hari saya akan mandikan dia, Azwar sudah tak mampu uruskan diri, nak bangun dari tempat tidur dan berjalan pun perlu dipapah, suaranya juga semakin perlahan apatah lagi dengan keadaan matanya yang kabur.

“Bagaimanapun saya tetap ingatkan supaya membaca surah-surah yang dia ingat walaupun dalam hati, saya tak mahu Azwar lupa dengan ayat suci al-Quran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Anisah berkata, sumbangan orang ramai akan digunakan untuk mengubati penyakit Azwar di beberapa lagi tempat dan hospital yang dicadangkan oleh kenalan termasuk orang ramai.

Bagaimanapun katanya, nombor akaun yang dipaparkan di dalam akhbar dihadkan transaksi oleh pihak bank dan dia dinasihatkan membuka akaun baharu.

Harian Metro kelmarin melaporkan, Azwar hanya mampu menangis sambil memegang al-Quran selepas penglihatannya semakin kabur sejak dua minggu lalu akibat penyakit misteri.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah lalu, Azwar yang hadir berkerusi roda menjadi antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Bagi mereka yang mahu membantu boleh menghubungi bapanya, Mohd Ariff Ismail menerusi nombor telefon 017-5517084 atau menyumbang ke akaun Maybank baharu Che Anisah 502045110883.

Berita berkaitan

Dulu johan Tilawah al-Quran, kini...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 12:42 PM
MOHD Ariff Ismail, 45, mendukung anaknya Muhammad Azwar, 11, masuk ke dalam rumah di Madrasah Ar Rahmaniah, Seberang Pekan selepas pulang dari rumah ibu saudaranya di Kampung Charuk Putih, Memali, Baling. FOTO Che Anisah Md Saad