SEORANG lelaki bersolat menghadap arah kiblat yang betul selepas mimbar masjid Sugoren didapati tidak tepat. FOTO CEN
SEORANG lelaki bersolat menghadap arah kiblat yang betul selepas mimbar masjid Sugoren didapati tidak tepat. FOTO CEN
Agensi

Istanbul: Jemaah di sebuah masjid di Turki terkejut apabila mendapati mereka sebenarnya bersolat tidak menghadap arah kiblat selama lebih 40 tahun selepas seorang iman mengesan kesilapan pada reka bentuk rumah ibadat berkenaan.

Hurriyet Daily News melaporkan, masjid di Sugoren di barat Turki yang dibina pada 1981 mempunyai kesilapan pada reka bentuknya menyebabkan arah kiblat lari hampir 33 darjah.

Masjid itu dibina di atas tapak sebuah masjid lama dan kemungkinan penduduk di situ menghadap arah kiblat yang salah sejak berpuluh-puluh tahun lagi.

Kesilapan itu disedari imam muda, Isa Kaya, 24, yang membuat semakan arah kiblat selepas terdengar khabar angin mengenai kesalahan dalam reka bentuk masjid berkenaan.

Selepas mendapati arah kiblat itu tidak tepat, Isa segera bertemu mufti dan pegawai agama di wilayah berkenaan untuk memberitahu mengenai kesilapan berkenaan.

Mufti kemudian mengumumkan mimbar yang menjadi penunjuk arah kiblat di masjid itu diletakkan di tempat yang tidak tepat.

Menurut ajaran Islam, solat mestilah menghadap arah Kaabah yang berada di kota suci Makkah di Arab Saudi.

Sebagai penyelesaian sementara, Isa membuat garisan menggunakan pita pelekat putih yang menghadap arah kiblat sebagai panduan untuk jemaah menunaikan solat.

“Kami memberi penerangan kepada penduduk di sini mengenai kesilapan itu dan kebanyakan mereka menerimanya dengan positif,” kata Isa kepada Demiroren News Agency.

Tambahnya, penduduk di kampung itu akan meneruskan aktiviti biasa di masjid berkenaan sementara menunggu pengubahsuaian untuk membetulkan semula mimbar di rumah ibadat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe