Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Andai dilihat kepada perkembangan industri perfileman tanah air, sudah ada peningkatan dan prestasi yang membanggakan.

Tahun ini banyak filem mencatat kutipan hebat serta mencetus fenomena sendiri. Jika ingin berbicara mengenai trend genre filem, nampaknya semua itu sudah tidak menjadi keutamaan.

Filem Hantu Kak Limah yang mewakili genre komedi seram berjaya mencuit hati jutaan penonton sehingga mencatat jumlah kutipan lebih RM35 juta.

Filem bergenre aksi patriotik, Paskal yang baru ditayangkan sejak 20 hari lalu juga sudah berjaya mencatat jumlah kutipan lebih RM22 juta.

Paling membanggakan pastinya Munafik 2 yang mencatat kutipan lebih RM43 juta sejak mula ditayangkan. Filem yang kini ditayangkan di Indonesia itu turut mencetus sejarah perfileman tanah air apabila menjadi filem paling laris sepanjang zaman.

Pengarah dan pelakon utama Munafik 2, Syamsul Yusof berkongsi kejayaan dan resipinya menghasilkan filem pecah panggung bersama wartawan SYAFIL SYAZWAN JEFRI ().

Selain Munafik 2, hampir semua filem arahan Syamsul mencatat kutipan pecah panggung.

Bermula dengan filem pertama, Evolusi KL Drift yang mencatat kutipan sebanyak RM3.9 juta, Syamsul terus ‘meletup’ dengan Evolusi KL Drift 2 (RM6 juta), Jalan Kembali: Bohsia 2 (RM4.9 juta), KL Gangster (RM11.7 juta), KL Gangster 2 (RM5 juta), Khurafat (RM8 juta) dan Munafik (RM17 juta).


SYAMSUL Yusof. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Sebagai pengarah, adakah anda meletakkan sasaran tertentu jumlah kutipan sesuatu filem yang anda hasilkan?

Saya sendiri tidak pernah mensasarkan jumlah kutipan terhadap filem yang saya hasilkan. Sejujurnya, saya tak pernah bermimpi yang satu hari akan ada filem Melayu boleh melepasi kutipan lebih RM40 juta.

Kalau adapun, mungkin dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang. Apabila filem saya, Munafik 2 berjaya mengutip kutipan paling tinggi, saya anggap semua itu rezeki dan kuasa Allah. Itu adalah petanda yang baik kepada industri filem tempatan.

Sebagai pengkarya, saya bangga dengan prestasi ini sekali gus membuktikan bahawa kata-kata yang mengatakan orang Malaysia tidak mahu menonton filem Melayu itu adalah salah.

Apa yang boleh saya katakan, dengan jumlah kutipan sebanyak itu ia meletakkan filem kita setanding dengan filem Hollywood seperti Fast & Furious dan Transformers. Sebagai pengkarya, kita harus bersyukur dan berikan yang lebih baik.

Apakah formula dan resipi anda tampil dengan filem pecah panggung ini?

Ramai yang bertanya kepada saya mengenai rahsia dan formula. Saya rasa semua orang sudah tahu iaitu untuk menghasilkan filem yang bagus, perlu ada pengarah, skrip dan pelakon yang bagus. Pendek kata semuanya perlu bagus.

Jika ditanya mengenai resipi, kebiasaannya saya akan ‘menggali’ secara terperinci sama ada ia mampu mencengkam jiwa penonton atau tidak.

Setiap kali saya hasilkan filem, saya sentiasa berfikir bahawa ada orang lain yang karyanya lebih bagus daripada saya.

Sebagai pengkarya, saya banyak kaitkan karya yang saya nak hasilkan dengan penonton di Malaysia. Dalam kata lain, ia lebih dekat dengan penonton.

Saya mahu mereka suka apa yang saya suka. Contohnya, apabila saya menghasilkan sesuatu babak sedih dan ia membuatkan saya sedih, saya nak perasaan itu turut dirasai penonton.

Selain itu, kita perlu berfikir ke hadapan. Bukan maksud saya dari sudut teknologi seperti CGI (Imej Janaan Komputer) semata-mata, tapi lebih dari itu.

Kita perlu fikir bagaimana cara untuk mencengkam hati penonton dan meninggalkan kesan kepada mereka walaupun selepas beberapa tahun filem itu ditayangkan.

Bagaimana dengan kos yang sentiasa menjadi kekangan utama buat syarikat produksi tempatan?

Ia bukan mengenai berapa banyak kos yang anda ada untuk menghasilkan filem kerana kita bukanlah seperti produksi Hollywood yang ada banyak wang.

Yang penting adalah idea untuk karya itu dan bagaimana seseorang pengarah menggarap jalan ceritanya sehingga berjaya menyentuh jiwa penonton.

Contohnya, filem Munafik dan Munafik 2 adalah filem dakwah, tapi siapa yang nak tengok filem dakwah. Jadi, saya pasarkannya sebagai filem seram dan menyentuh jiwa penonton.

Setiap pengarah perlu ada naluri dalam menghasilkan sesuatu karya dan sentiasa yakin dengan diri sendiri.

Selain karya itu sendiri, apakah perkara lain yang anda lihat?

Pengarah juga perlu melihat dari sudut pemasaran. Kita kena faham pasaran filem tempatan dan filem bagaimana orang nak tonton.

Saya pernah menonton satu filem dari Iran dan kisahnya adalah mengenai sepasang kasut. Walaupun nampak ringkas, tapi sebenarnya ia adalah karya yang benar-benar menyentuh jiwa dan memberi impak kepada saya.

Jika kita menghasilkan filem begitu, tentunya tak akan mendapat sambutan kerana pasaran filem kita berbeza. Begitu juga kehendak penonton di sini yang jauh berbeza.

Adakah pemilihan pelakon juga menjadi satu faktor penting kejayaan sesebuah filem?

Saya tidak berpegang kepada kata-kata kalau nak filem berjaya, ambil pelakon bertaraf bintang. Bagi saya, idea adalah ‘bintang’ utama dan ia sudah terbukti. Berapa banyak filem yang menggunakan pelakon bertaraf bintang, tapi gagal di pawagam. Bukan sikit.

Jika karya filemnya bagus, ditambah pula dengan pelakon Gred A, hasilnya pasti akan jadi sangat hebat. Tapi, pastikan karyanya bagus terlebih dahulu.

Anggap karya atau skrip yang ditulis sebagai menu manakala pengarahnya adalah tukang masak. Jika skrip bagus dan pengarahan di tahap biasa, ia masih akan jadi bagus.

Namun, jika karya yang ditulis tidak berkualiti, letaklah pengarah hebat mana pun ia takkan jadi filem yang bagus.

Adakah kerana itu anda memilih untuk berlakon sendiri filem yang anda arahkan?

Saya banyak kali ditanya mengenai soalan ini. Saya sukakan cabaran, jadi saya terbabit dalam produksi dan sebagai pelakon. Kerana apa? Kerana saya tahu, saya boleh buat banyak benda.

Dalam hidup kita, orang luar akan sentiasa memandang rendah akan kemampuan kita. Jadi, kita kena percaya kepada diri sendiri. Lakukan sesuatu yang kita mampu buat dan biarkan mereka berhenti merendahkan kita.

Saya pun pernah direndah-rendahkan oleh ramai orang. Tapi, jika saya lihat dan dengar kata-kata mereka secara serius, saya tak mungkin berada di tahap sekarang.

Kerana itulah saya jadi pelakon dalam filem yang saya arahkan. Saya juga jadi penyanyi, komposer dan banyak lagi.

Alhamdulillah, dengan anugerah Tuhan yang saya ada, semuanya menjadi dan diterima dengan baik.

Siapakah pengkritik nombor satu anda?

Pada awalnya, bapa saya, Datuk Yusof Haslam pun tak yakin dengan kemampuan saya untuk menjadi pengarah filem. Jadi, saya sentiasa berfikir saya boleh jadi lebih baik daripada bapa saya.

Dia adalah pengkritik nombor satu saya dan saya buktikan kepadanya apa yang saya mampu lakukan.

Proses yang saya jalani bukanlah singkat. Saya mula mengarah pada 2006 dan bermula dari bawah. Semua orang ada ujian masing-masing. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk berjaya.

Adakah anda menjadi tempat rujukan pengkarya lain?

Sejujurnya, ada beberapa pengkarya yang datang berjumpa dengan saya dan bertanya soalan berkaitan penghasilan filem. Saya kongsikan dengan mereka sebagai kawan.

Apa yang saya kongsikan, kalau mereka nak dengar, silakan dan kalau sebaliknya, tak mengapa. Ia berdasarkan pengalaman saya menghasilkan 10 filem.

Kata putusnya ada pada mereka sama ada mereka nak gunakan apa yang saya kongsikan atau tidak.

Adakah anda merujuk mana-mana pengarah lain?

Saya sendiri pun pernah merujuk kepada pengarah tempatan antaranya bapa saya, Aziz M Osman, Ahmad Idham dan ramai lagi. Banyak yang saya belajar daripada mereka. Dari situ, saya wujudkan identiti karya saya sendiri. ukan saya nak buruk-burukkan, tapi masih ada juga pengkarya di luar sana yang berpuak-puak dan itu sangat menyedihkan.

Kongsikan perkembangan terbaru anda?

Saya akan kembali ke set penggambaran filem Mat Kilau pada pertengahan Disember nanti. Penggambaran filem epik itu sebelum ini dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada promosi Munafik 2.

Kepada peminat filem Munafik, Insya-Allah, akan ada filem ketiga. Sinopsisnya sudah saya siapkan, cuma nak kembangkan lagi.

Selain itu, saya juga sedang sibuk mempromosikan single Menangislah, duet dengan Mawi yang juga menjadi lagu runut bunyi Munafik 2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:03 AM