SULTAN Sallehuddin dan Sultanah Maliha menaiki Bahtera Layang Emas berkenan memberi lambaian kasih kepada rakyat yang setia menunggu. -Foto BERNAMA
BERNAMA

ALOR SETAR: Keindahan Layang Emas sukar diperincikan dengan kata-kata. Bahtera Diraja itu bukanlah calang-calang karya.

Buktinya jelas dilihat apabila Bahtera Diraja itu membawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, gah meluncur ketika Istiadat Perarakan dan Perbarisan pada pagi kelmarin.

Perarakan yang bermula di hadapan Dataran Wisma Darul Aman sehingga ke Dataran Medan Bandar berhadapan Dataran Balai Besar sejauh 3.2 kilometer sempena Hari Pertabahan Sultan Kedah ke-29 itu semestinya mengukir satu lagi sejarah buat negeri Jelapang Padi ini.

Layang Emas adalah hasil cetusan idea pasukan pemikir dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK), kepakaran arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pereka serta pembina bahtera itu, Ruslin Long.

Ruslin, 64, yang merupakan anak jati Kedah dari Kampung Seberang Perak, Alor Setar berkata Layang Emas adalah bahtera kedua yang dibinanya untuk istiadat diraja negeri ini.

Bahtera pertama yang dinamakan Emas Lapis Suasa dibina sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 2008.


RUSLIN melihat ukiran salur daun, papan cantik, tunjuk langit dan selembayung yang akan dihiasi bahagian ‘Layang Emas’. -Foto BERNAMA

Ruslin, yang mempunyai pengalaman kira-kira 44 tahun dalam bidang seni itu, memberitahu bahawa bahtera Layang Emas yang sepanjang 25 meter dengan ketinggian lima meter itu mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan.

“Pengalaman dalam bidang seni lukisan banyak membantu saya menggarap idea untuk menghasilkan bahtera ini.

“Saya juga dapat inspirasi daripada beberapa elemen reka bentuk dan ukiran bangunan di sekeliling selain selalu memastikan setiap reka bentuk yang dicipta adalah berbeza daripada yang pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata warna kuning dan keemasan pada bahtera Layang Emas menggabungkan pelbagai elemen termasuk dari negeri Kedah dan Kelantan serta dibina dengan sentuhan yang sarat dengan kesenian Melayu bermula dari bahagian kepala sehingga ke ekor bahtera.

“Bahagian kepala bahtera yang menyerupai seekor burung helang melambangkan kekuatan dan kuasa manakala bahagian tengah yang merupakan singgahsana Sultan dan Sultanah bersemayam di sepanjang perarakan pula dibentuk menyerupai bangunan ikonik di Kedah iaitu Balai Besar.


PEKERJA sedang mencantikkan bahagian kepala bahtera ‘Layang Emas’. -Foto BERNAMA

“Malah, bahagian bumbungnya dilengkapkan dengan salur daun, papan cantik, tunjuk langit dan selembayung yang merupakan pengisian penting dalam seni bina tradisional Melayu,” jelas beliau.

Lebih menarik adalah bahagian bumbung bahtera itu menggunakan ‘atap singgora’ yang amat sinonim dengan seni bina bumbung tradisional di Kelantan dan Terengganu. Malah, sehingga kini istana masih mengekalkan identiti berbumbungkan atap singgora.

“Ini adalah gabungan elemen dari Kedah dan Kelantan kerana Sultan Sallehuddin berasal dari Kedah manakala Sultanah Maliha berasal dari Kelantan.

“Selain itu, bahagian ekor bahtera menyerupai ekor helang atau itik yang disisip rapi menandakan kesatuan rakyat negeri,” katanya.

Mengakui bahawa membina bahtera sebesar itu bukannya mudah, Ruslin berkata membentuk bahagian hadapan dan belakang bahtera memerlukan ketelitian kerana bentuk melengkung mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

“Bahtera ini dibina di atas lantai lori...sebelum membinanya, semua aspek perlu diambil kira termasuk dari segi pergerakan kerana panjang bahtera adalah 25 meter. Perlu fikirkan bagaimana hendak membelok di jalan raya.


PARA pekerja sedang bertungkus-lumus sehingga lewat malam untuk menyiapkan bahtera "Layang Emas". -Foto BERNAMA

“Memang mencabar untuk siapkan bahtera ini sebab kesemuanya dibuat manual termasuk pemasangan besi, kayu dan bumbung yang menggunakan kekuatan 20 orang pekerja dengan pelbagai kepakaran,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk menyiapkan bahtera, hasil daripada kerjasama berpasukan menjadikan semuanya mudah.

“Bahagian bumbung sahaja ambil masa hampir tiga jam untuk diangkat dan dipasang di bahagian atas bahtera kerana berat dan besar.

“Pada awalnya, memang tahu ia sukar untuk dinaikkan, tetapi hasil perkongsian idea dan tenaga segalanya lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.

Ruslin bersyukur kerana dipilih dan diberi kepercayaan buat kali kedua menghasilkan bahtera itu.

“Saya memang gembira...lagipun, saya anak jati Kedah. Bukan mudah untuk dapat peluang menghasilkan bahtera untuk istiadat Tuanku Sultan dan Sultanah yang disayangi sekalian rakyat,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:41 AM