MOHAMMAD HAMDAN WAHID
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim

PUTRAJAYA: Sebanyak 83 bangunan di seluruh negara dikesan menggunakan cladding atau lapisan penebat yang mudah terbakar.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohammad Hamdan Wahid dalam temubual khas bersama Harian Metro mendedahkan premis berkenaan membabitkan daripada pejabat, hotel, gudang, kilang dan kedai.

“Hasil pemeriksaan kita dapati bangunan berkenaan menggunakan lapisan pelapis berasaskan Metal (panel aluminium komposit-ACP), poly styrene, poly ethelene dan poly properlene,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM di sini.

Menurutnya, penggunaan bahan mudah terbakar itu dikesan selepas Bahagian Keselamatan Negeri JBPM melakukan pemeriksaan di 11 negeri di seluruh negara bermula 15 Februari hingga 15 April lalu.

“Daripada 106 bangunan diperiksa 83 sah menggunakan cladding pada dinding luar bangunan,” katanya.

Memperincikan perkara itu Mohammad Hamdan berkata, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan penggunaan cladding tertinggi iaitu sebanyak 21 premis.

“Pulau Pinang 13 premis, Sarawak (12), Kedah (7), Sabah (7), Perak (6), Terengganu (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6), Melaka (4) dan Johor (1),” katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada pemilik bangunan berkenaan supaya menanggalkan cladding yang dipasang.

Harian Metro semalam menerusi laporan eksklusif mendedahkan penggunaan cladding dianggap sebagai perangkap maut atau bom jangka jika berlaku kebakaran kerana sifatnya yang mudah terbakar.

Penggunaan cladding dikhuatiri menjadi punca kepada kebakaran seperti kes membabitkan bangunan cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, 13 Februari lalu.

Untuk rekod, pada 14 Jun 2017 lalu menara kediaman Grenfell Tower yang terletak di barat laut London, United Kingdom (UK) terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 7:53 AM