SITI Ida menunjukkan hidangan roti tampal dan roti sardin yang mendapat permintaan tinggi pelanggan.
Badrul Hizar Ab Jabar


MELAKA: Bicara mengenai jenis atau menu makanan istimewa dari Melaka, pastinya ramai yang membayangkan keenakan masakan asam pedas atau ikan bakar yang cukup popular di Umbai dan Sungai Baru di sini.

Namun begitu, ada lagi beberapa yang kelihatan seperti biasa saja, tetapi apabila diamati tetap ada kelainan seperti roti canai.

SITI Ida menyediakan roti canai menggunakan dapur kayu untuk dinikmati pelanggannya di kedai Roti Canai Kayu Arang.

Bagi penggemar hidangan kegemaran rakyat Malaysia ini yang mahu mencari kelainan untuk menikmati roti canai, tidak rugi sekiranya berkunjung ke sebuah restoran di Melaka yang menjual roti canai sedap dan unik.

Apakah keunikannya? Keunikan restoran yang dinamakan Roti Canai Kayu Arang di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin, Bachang ini terletak kepada cara masakannya yang menggunakan dapur arang.

Antara roti canai istimewa yang dijual di restoran berusia lebih 50 tahun itu ialah roti tampal dangdut dan roti canai nachos.

Pelanggan menikmati pelbagai hidangan roti canai dimasak guna dapur kayu.

Pemiliknya, Siti Ida Talib, 43, yang mewarisi perniagaan itu daripada ibunya, Safiah Husin, 65, berkata, sama seperti di restoran mamak, Restoran Roti Canai Kayu Arang menawarkan pelbagai jenis roti canai seperti roti kosong, sardin, keju, telur, bom dan bawang.

Apa yang membezakan restoran yang beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari itu adalah kaedah penyediaannya iaitu dimasak menggunakan kayu arang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:38 AM