TUJUH rakan Fahmi yang mengikuti rombongan bercuti ke Korea Selatan, 4 Oktober lalu.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pergi Korea Selatan balik hari. Itu pengalaman seorang lelaki yang hanya berada di negara itu selama lapan jam sebelum dihantar pulang ke Malaysia berikutan tidak mengisi ruang pekerjaan pada kad ketibaan.

Luahan hati Fahmi Sudirwan, 32, tular di media sosial menarik simpati netizen dan ramai menganggap perkara itu sebagai satu kesilapan kecil saja.

Menceritakan kejadian pada 4 Oktober lalu, Fahmi berkata, dia ke Korea Selatan kerana menemani rakan yang mengikuti rombongan membabitkan enam perempuan dan dua lelaki bercuti empat hari ke negara itu.

Katanya mengikut perancangan, mereka akan melawat lokasi tumpuan pelancong di Korea Selatan seperti Seoul, Myondong, Pulau Nami dan Everland.

“Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon jam 8 pagi dan saya dihantar pulang ke Malaysia jam 4.30 petang hari yang sama,” katanya.

Menurutnya, itu kali pertama dia ke Korea dan tidak sangka melalui pengalaman ‘manis’ setibanya di negara berkenaan.

“Saya pernah melawat negara lain sebelum ini dan tak pernah mengisi butiran di ruang pekerjaan pada kad ketibaan tapi tak ada masalah. Tapi di Korea Selatan peraturannya berbeza kerana disebabkan masalah itu saya terkandas.

“Ketika ditahan pegawai imigresen mereka tanya apakah pekerjaan saya. Ketika beri penjelasan saya beritahu saya kakitangan kerajaan.

“Mereka bertanya lebih lanjut saya bertugas di bahagian mana, saya jawab fisheries (perikanan) namun pegawai terbabit tidak faham dan membawa saya ke bilik pengasingan,” katanya.

Menurutnya, ketika di bilik pengasingan pegawai bertugas mengambil cap dua jari telunjuk kanan dan kiri serta gambar.

“Saya dikehendaki mengisi borang yang semua soalan ditanya sama dengan kad ketibaan di atas kertas bersaiz A4.

“Dalam bilik siasatan, ramai sekali orang dan ketika itu kebanyakan mereka dari Thailand, saya disoal siasat antara empat hingga lima jam. Perasaan ketika itu agak cemas,” katanya.

Menurutnya, ketika menunggu disoal siasat, dia meminta izin pegawai imigresen supaya dapat keluar untuk memberikan wang kepada rakan yang menunggu di luar namun permintaannya ditolak.

“Kemudian saya dipanggil pegawai imigresen wanita manakala seorang jurubahasa Melayu berada di talian telefon.

“Semua dokumen yang ada pada saya diambil termasuk wang tunai yang agak banyak untuk diberikan kepada rakan termasuk lapan wang T khas bagi pengangkutan awam.

“Soalan pertama ditanya pekerjaan saya, berapa ramai datang dan mereka meminta saya menyebut nama rakan setiap seorang,” katanya.

Jelasnya dia tidak dapat mengingati nama penuh setiap ahli rombongan dan pegawai imigresen bertugas mempersoalkan perkara itu.

“Selepas itu, dia bertanya lokasi beberapa kawasan untuk pergi dan saya meminta untuk melihat jadual perjalanan namun dirampas serta dimarahi kerana saya sepatutnya mengingati tempat untuk dilawati.

“Pertanyaan terakhir, mengenai jumlah wang dibawa dan spontan saya menjawab dua juta won namun pegawai imigresen itu bertanya kenapa perlu membawa duit yang banyak,” katanya.

Katanya, dia diminta menandatangani borang dan tidak dibenarkan memasuki Korea sebelum diiring ke ruang pelepasan antarabangsa untuk dihantar pulang ke Malaysia.

“Mereka iringi saya hingga ke dalam kapal terbang dan pasport diberikan ketika berada di lapangan terbang Malaysia.

“Diharap pengalaman ini menjadi teladan kepada pelancong Malaysia yang ingin ke Korea dan pastikan mengisi kad ketibaan dengan lanjut tanpa meninggalkan ruang kosong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 8:03 AM