Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Laluan keluar masuk Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Bot, di sini, dikepung hampir tiga jam oleh puluhan anggota Pasukan Taktikal Bersenjata (COBRA) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok didalangi warga Indonesia di kawasan itu, kelmarin.

Kehadiran pasukan COBRA yang lengkap bertopeng, pakaian taktikal dan bersenjatakan sub mesingun MP5 serta CZ Scorpion menimbulkan sedikit rasa panik dalam kalangan orang ramai di kawasan sekitar yang menyangka ada operasi besar-besaran pihak berkuasa.

Anggota pasukan COBRA terbabit yang dibahagikan kepada beberapa pasukan kecil ditugaskan mengawal ketat kawasan itu termasuk memerhatikan kenderaan mencurigakan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran operasi.

Operasi itu bermula jam 12 tengah hari dan berakhir beberapa jam kemudian penting kerana kawasan berkenaan menjadi tumpuan peniaga rokok seludup mengambil bekalan untuk dijual di premis masing-masing yang kebanyakannya milik warga asing.

Beberapa minggu sebelum serbuan, risikan dijalankan bagi mengenal pasti lokasi kedai, setor dan kenderaan digunakan untuk aktiviti penyeludupan rokok berkenaan yang dipercayai dibawa masuk oleh kartel rokok seludup beroperasi dari Johor.


LOKASI rampasan rokok seludup. GRAFIK Harian Metro

Hasilnya, 585,032 batang rokok pelbagai jenama seperti Canyon, LA, DJarum Super, June, John, Dunhill, Marlboro, Gudang Garam, Nusantara, U2, Saat dan Pine, dianggarkan bernilai RM428,729.85 termasuk nilai cukai dirampas.

Selain itu, empat ‘tali barut’ termasuk dalang utama sindiket berusia 56 tahun berasal dari Indonesia yang aktif dalam aktiviti penjualan dan mengedarkan rokok seludup bagi pasaran sekitar ibu kota turut ditahan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, operasi khas itu disertai 76 anggota dan pegawai JKDM termasuk COBRA, Cawangan Risikan JKDM Putrajaya, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan serta Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor.

Katanya, turut serta dalam serbuan itu adalah pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Putrajaya.


PASUKAN COBRA yang lengkap bertopeng, berpakaian taktikal dan bersenjatakan sub mesingun MP5 serta CZ Scorpion. FOTO Zulfadhli Zulkifli

“Ini bukti JKDM serius memerangi sebarang anasir yang melanggar undang-undang negara. Kami tidak pernah berkompromi dengan sindiket penyeludupan rokok,” katanya sambil memberitahu kawasan sama pernah diserbu sebelum ini namun kembali beroperasi.

Menurutnya, empat individu berusia antara 30-an hingga lewat 50-an ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran rokok seludup di kawasan itu.

“Tiga daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang warga tempatan. Kami membuka 13 kertas siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Dengan kejayaan ini, kami percaya berjaya menyekat rantaian sindiket penjualan rokok seludup bagi pasaran sekitar ibu kota,” katanya.

Katanya, JKDM mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam membanteras kegiatan melanggar undang-undang negara.


SEJUMLAH 585,032 batang rokok pelbagai jenama dirampas. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Taktik elak ‘dihidu’ penguat kuasa

Kegiatan penyeludupan rokok di kawasan Chow Kit, di sini yang didalangi warga Indonesia dikesan menggunakan taktik meletakkan produk itu di kaki lima hadapan premis sebelum diambil peniaga yang membuat pesanan.

Ia bertujuan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa sekiranya serbuan dilakukan kerana pemilik premis tidak akan mengaku bahawa rokok seludup itu milik mereka.

Serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di beberapa premis di Jalan Raja Alang dan lorong Raja Bot, di sini, kelmarin turut mendapati bahan tembakau itu juga disimpan di bawah meja dan belakang dinding gerai menjual buah-buahan selain disembunyikan di dalam beberapa stor.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, sindiket penjualan rokok sengaja meletakkan bahan tembakau itu di lokasi berkenaan bagi mengelakkan daripada dipersalahkan jika ia dirampas atau mereka ditahan pihak berkuasa.

Malah, ketika ditahan, suspek mengatakan mereka tidak tahu menahu mengenai rokok ditemui di kaki lima deretan kedai berkenaan atau siapa pemiliknya.

Seminggu sebelum serbuan, Skuad Khas Harian Metro menerima aduan awam mendakwa warga Indonesia berasal dari Aceh yang berstatus Penduduk Tetap (PR) negara ini, berusia 56 tahun menjadi ‘tauke’ rokok seludup di Jalan Raja Bot dengan memonopoli penjualan bahan tembakau berkenaan.


ANTARA yang ditahan dalam operasi. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Individu itu berlagak ‘kebal’ kerana berani melakukan penjualan secara terbuka dalam jumlah besar di kawasan berkenaan.

Bagi memastikan kesahihan dakwaan itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro melakukan risikan di kawasan berkenaan.

Hasil pemerhatian mendapati, dalang utama menerima bekalan rokok seludup hampir setiap hari yang dipunggah menggunakan pelbagai jenis kenderaan.

Rokok yang dihantar dari Johor dan Selangor itu akan ditinggalkan di kaki lima sepanjang deretan kedai berkenaan.

Pemerhatian mendapati rokok ditinggalkan di kaki lima langsung tidak diusik orang ramai melalui kawasan terbabit.

Kemudian stok bahan tembakau itu dipindahkan ahli sindiket ke dalam stor di bahagian belakang deretan kedai itu selepas tamat waktu perniagaan sekitar jam 10 malam.


ANGGOTA operasi memotong kunci pintu dalam operasi. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 10:00 AM