DAYANG (kiri) dan Liza Hanim pada sidang media Muzik-Muzik Separuh Akhir 33 di The International Gallery, Bukit Kiara. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Sudirman Mohd Tahir


SEBELUM berada pada tahap sekarang, dua penyanyi hebat ini dahulunya bermula dari bawah apabila menyertai pertandingan Golden Teen Search anjuran RTM (TV2).

Ketika itu Liza Hanim memenangi tempat kedua pada 1996 manakala Dayang Nurfaizah pula juara 1997. Sekali gus, bakat mereka mendapat perhatian komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Lagi persamaan dua figura ini apabila sepanjang kerjaya nyanyian mereka juga pernah terbabit dalam pertandingan program realiti yang mana Liza menerusi program Gegar Vaganza musim keempat dan Dayang dalam One In A Million musim pertama.

Selain itu, Liza pemenang pertama kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-17 (AJL 17) dan Dayang pula cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut bagi kategori sama pada AJL ke-29, 30 dan 31.

Terbaru, Liza dan Dayang sekali lagi berkongsi pentas pertandingan apabila lagu nyanyian mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 33.

Liza mempertaruhkan lagu Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya, manakala Dayang muncul dengan tiga lagu iaitu Dia (Hael Husaini & Ezra Kong), Haram duet bersama Hael juga ciptaan Hael dan Ezra dan Layarlah Kembali (Aubrey Suwito).

Liza, 39, atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim berkata, dia berasa seronok apabila kembali bertanding dalam program itu selepas kali terakhir pada 2008 menerusi lagu Merawat Luka Terpendam.

“Apa pun, buat masa sekarang saya mahu fokus pada peringkat separuh akhir dulu. Kalau lagu ini layak ke AJL baru saya fikir perancangan seterusnya. Diakui, kembali bertanding di pentas ini sesuatu yang tidak pernah dijangka.

“Jadi, apabila edisi kali ini bertemu Dayang semula ia sebenarnya mengembalikan nostalgia yang mana ketika itu turut bertanding Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar dan beberapa penyanyi senior lain.

“Bagi saya, kemunculan kami pada pertandingan ini membuktikan penyanyi lama masih dihargai, sekali gus memperlihatkan kematangan muzik tempatan apabila tidak hanya dimonopoli barisan penyanyi baru,” katanya.

Menurut Liza, meski hamil enam bulan dia selesa menyanyikan lagu itu. Malah, Liza juga belum terfikir mencari penyanyi gantian.

“Dalam keadaan sekarang, saya masih boleh menyanyi dan bertanding. Malah, kalau lagu ini layak ke AJL dan kebetulan baru bersalin dalam tempoh dua minggu, saya rasa tidak ada masalah untuk kembali menyanyi. Namun, ia bergantung kepada keadaan saya.

“Walaupun ini pengalaman pertama saya bertanding dalam keadaan berbadan dua, saya okay. Cuma, saya kena fokus untuk lagu ini saja bagi mendapatkan tenaga,” katanya.

Perkembangan lain, Liza kini dalam proses mengumpul material untuk menghasilkan single terbaru.

“Apabila saya menyertai GV, saya nekad untuk tidak berhenti menyanyi lagi. Disebabkan itu, saya perlu mengatur pelbagai strategi dan perancangan untuk kerjaya. Insya-Allah, selepas selamat bersalin saya akan muncul dengan lagu baru.

“Jika tidak pun, sepanjang tempoh berpantang sudah ada perancangan lain. Apa yang penting saya tidak senyap begitu saja. Cuma, saya perlu dapatkan semula stamina dan berusaha untuk kurus.

“Mengenai single baru, saya ada minta daripada komposer lama dan baru. Saya tidak kisah asalkan lagu itu berkualiti. Malah, saya ada juga minta daripada Hael. Kita tengok mana yang sesuai nanti,” katanya.

# Dayang buat sehabis baik

Bagi Dayang, muncul dengan tiga lagu adalah di luar jangkaannya kerana setiap pencalonan ditentukan oleh komposer setiap lagu.

“Semua ini tidak pernah dirancang. Terlebih dahulu, Hael selalu komposer lagu Dia mencalonkan lagu berkenaan. Kemudian, kami muncul pula dalam lagu duet dan Hael juga mencalonkan lagu ini.

“Selepas itu, saya muncul dengan single Layarlah Kembali yang juga lagu tema filem Pulang. Komposer juga ingin mencalonkan lagu ini. Sebagai penyanyi, saya lihat ini sebagai satu tanggungjawab. Saya okay saja.

“Lagi pun, sudah lama tidak melalui situasi sebegini. Sebelum ini pernah membabitkan dua lagu saja. Apabila kena sampaikan tiga lagu, saya gembira dan dalam masa sama gementar,” katanya.

Meski ada cakap-cakap mengatakan Dayang patut berehat daripada pertandingan itu, penyanyi kesayangan ramai ini menyifatkan ia adalah rezeki.

“Mungkin orang lupa, baru sekarang saya kerap terbabit dalam program ini. Sebelum ini agak lama juga saya menunggu peluang sebegini. Bagi saya, ini rezeki dan rasa bersyukur sangat,” katanya.

Diusik mengenai lagu kegemarannya di antara tiga lagu itu, Dayang hanya tersenyum.

Menurutnya, semua lagu itu ada keunikan dan keistimewaan tersendiri.

“Lagu kegemaran? Susah nak cakap. Sebab, lagu Dia adalah lagu balada yang agresif. Haram pula lagu duet dan sentuhan yang muda untuk saya. Sementara lagu Layarlah Kembali lebih emosi. Semua ini baru untuk saya. Jadi, susah nak pilih.

“Namun, tidak dinafikan lagu Layarlah Kembali ada nilai sentimental tersendiri. Sayang jika lagu ini tidak diletakkan di tempat sepatutnya apatah lagi ia hasil ciptaan Aubrey,” katanya.

Pun begitu, Dayang sudah bersedia sekiranya takdir menentukan ketiga-tiga lagu itu gagal mara ke peringkat akhir.

“Saya hanya mencuba dan buat yang terbaik. Kalau tidak ada lagu yang layak ke AJL, saya tidak perlu berasa malu. Lagi pun, saya tidak pernah rancang untuk bertanding dengan tiga lagu.

“Malah, kalau dapat satu pun saya okay. Ia rezeki masing-masing. Kalau tengok daripada semua lagu yang bertanding masing-masing kuat dan ada peluang untuk mara ke AJL.

“Jadi, lagu siapa pun yang ke peringkat akhir nanti ia memang layak. Tidak perlu dipertikai,” katanya.

Berkongsi mengenai kebangkitan rakan seangkatannya seperti Liza Hanim, Siti Sarah dan Misha Omar, Dayang berkata, mereka menyemarakkan semula industri muzik tempatan yang sejak dua tahun kebelakangan ini di dominasi penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU).

“Apabila mereka muncul dengan lagu baru dan semuanya tercalon dalam program ini, ia seperti mengembalikan semula zaman kegemilangan industri muzik kita. Dalam masa sama, lagu mereka juga diterima baik.

“Perlu diakui mereka penyanyi yang berkualiti. Tak dapat dibayangkan bagaimana kehebatan pentas AJL itu sekiranya semua lagu ini layak ke peringkat akhir. Dalam erti kata lain, ini baru pertandingan dan semua orang menantikan detik itu.

“Kalau betul ini terjadi, secara peribadi saya berasa gerun. Perasaan sama seperti dulu apabila bertanding dengan penyanyi hebat lain. Kalau perasan, tiga tahun sebelum ini saya antara penyanyi paling senior,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 6:00 AM